IKAN dipercayai ditangkap menggunakan bahan letupan. (Gambar kecil) PPM Kudat menunjukkan ikan yang dirampas ikan. FOTO Ihsan PPM
IKAN dipercayai ditangkap menggunakan bahan letupan. (Gambar kecil) PPM Kudat menunjukkan ikan yang dirampas ikan. FOTO Ihsan PPM
Ryan Stanley


PASUKAN Polis Marin (PPM) Kudat merampas 50 kilogram ikan pelbagai jenis dipercayai ditangkap menggunakan bahan letupan selepas pemeriksaan dibuat terhadap sebuah feri penumpang, di Kudat, semalam.

Komander PPM Wilayah 4 Sabah, Asisten Komisioner Mohamad Pajeri Ali berkata, rampasan itu dibuat 3.30 petang ketika melaksanakan operasi bersepadu bersama beberapa agensi lain di Terminal Feri Kudat.

“Hasil pemeriksaan terhadap feri terbabit, pihak kami menemui sebuah tong merah berisi pelbagai jenis ikan dipercayai ditangkap menggunakan bahan letupan.

“Bagaimanapun, tiada pihak termasuk juragan serta penumpang feri itu yang mengaku sebagai pemilik ikan berkenaan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Pajeri berkata, kesemua ikan yang dianggarkan bernilai RM900 itu kemudian dirampas untuk tindakan lanjut oleh Jabatan Perikanan Kudat.

Katanya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 26 (1) (c) Akta Perikanan 1985.

Sementara itu, Pajeri turut meminta orang ramai supaya terus bekerjasama dengan pihak polis dalam menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti bom ikan.

“Aktiviti bom ikan ini bukan saja satu kesalahan di sisi undang-undang malah turut menjejaskan ekosistem marin kerana ia boleh memusnahkan batu karang.

“Operasi ini juga akan terus dijalankan dari semasa ke semasa kerana pihak PPM sangat serius dalam menangani aktiviti bom ikan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 Februari 2019 @ 1:50 PM