SEBAHAGIAN wanita warga asing yang ditahan dalam Op Noda dijalankan D7 IPK Selangor di Sunway Mentari, Petaling Jaya, malam ini. FOTO Sairien Nafis.
SEBAHAGIAN wanita warga asing yang ditahan dalam Op Noda dijalankan D7 IPK Selangor di Sunway Mentari, Petaling Jaya, malam ini. FOTO Sairien Nafis.
Norizuan Shamsuddin


POLIS menahan 11 wanita warga asing disyaki terbabit dalam aktiviti pelacuran hasil serbuan di hotel bajet di Sunway Mentari, Petaling Jaya, malam ini.

Dalam serbuan bermula 9.30 malam itu, suspek berusia 20 hingga 30 tahun terbabit ditahan sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Maksiat, Judi dan Kongsi Gelap (D7) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor menerusi Op Noda.

Pegawai Turus D7 Selangor, Deputi Superintendan Mohd Khaizam Ahmad Shahbudin, berkata hasil serbuan pihaknya menahan 10 wanita warga Thailand dan seorang wanita warga Indonesia disyaki menjalankan aktiviti pelacuran di hotel berkenaan.

Katanya, semakan mendapati semua wanita berkenaan memasuki negara ini menggunakan pas lawatan sosial.

“Siasatan awal mendapati mereka menyewa di hotel berkenaan dan baru lima hari menjalankan aktiviti pelacuran di premis itu.

“Mereka diuruskan seorang lelaki yang mencari pelanggan menggunakan media sosial dan laman web.

“Harga ditawarkan bagi perkhidmatan seks bermula RM230 sejam dan untuk satu malam adalah RM950.

“Kami turut menahan empat lelaki tempatan berusia 20 hingga 30 tahun dipercayai pelanggan dan merampas kondom serta gel pelincir disyaki digunakan bagi kegiatan pelacuran,” katanya.

Khaizam berkata, semua suspek termasuk empat pelanggan terbabit di bawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya untuk tindakan lanjut.

Beliau berkata, siasatan lanjut dilakukan bagi mengenalpasti dalang utama menguruskan aktiviti pelacuran berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 Februari 2019 @ 11:59 PM