Gambar hiasan
Gambar hiasan
BERNAMA

Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini menjatuhkan hukuman penjara lima tahun ke atas seorang tukang gunting rambut warga Vietnam selepas dia mengaku bersalah memiliki pisau sepanjang 24 sentimeter tanpa permit di tempat awam di sini bulan lepas.

Nguyen Dinh Hung, 40, mengaku bersalah terhadap tuduhan itu di bawah Seksyen 6(1) Akta Korosif dan Berbahaya 1958, yang membawa hukuman penjara minimum lima tahun dan tidak lebih 10 tahun, serta sebatan.

Dia mengaku di hadapan Hakim Emelia Kaswati Mohamad Khalid yang mengarahkan hukuman itu dilaksanakan mulai hari ini.

Kesalahan itu dilakukan di belakang sebuah kedai di Jalan Berangan, Off Jalan Beremi di Dang Wangi di sini pada 11 Jan lalu pada 3.15 pagi.

Menurut fakta kes, tertuduh ditahan oleh polis setelah dia didapati berkelakuan mencurigakan, yang kemudian membawa kepada penemuan pisau sepanjang 24-sm dalam miliknya dari sebuah beg sandang yang dibawanya.

Hadir berkemeja merah, tertuduh kelihatan tenang tetapi berlinangan air mata bila mendengar keputusan yang dibacakan oleh jurubahasa Vietnam.

Dalam rayuannya, Nguyen yang tidak diwakili peguam memohon hukuman lebih ringan kerana dia satu-satunya pencari nafkah untuk keluarganya dan perlu mencari wang untuk rawatan bapanya yang sedang sakit di Vietnam.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Siti Aisyah Ahmad meminta mahkamah mengenakan hukuman tegas bagi memberi pengajaran bukan saja kepada tertuduh tetapi juga orang awam secara umumnya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 Februari 2019 @ 8:03 PM