Fardy Bungga


IBU Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah menahan 13,914 individu atas pelbagai kesalahan mengikut Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Akta Racun 1952 tahun lalu.

Hasil tangkapan itu menunjukkan peningkatan sehingga 27 peratus berbanding 2017 yang mencatatkan 10,894 tangkapan.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Omar Mammah berkata, daripada tangkapan itu, pihaknya merampas 201.9 kilogram syabu, lima kilogram ganja, 411.69 gram ketamin, 351 pil ekstasi dan enam kilogram daun ketum.

Katanya, daripada jumlah itu juga, 71 pengedar dadah disiasat mengikut Akta Dadah Berbahaya (Langkah-langkah Pencegahan Khas) 1985 dan beberapa daripadanya sudah dikenakan perintah larangan serta tahanan di pusat pemulihan mental.

“Hasil tangkapan ini, polis merampas harta pengedar dadah bernilai RM14.8 juta mengikut Akta Dadah Berbahaya (Pelucutanhak Harta) 1988, untuk dua tahun iaitu RM5.4 juta pada 2018 dan RM9.4 juta pada 2017.

“Berikutan itu polis berjaya melumpuhkan sindiket dadah di Sabah,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Labuan hari ini.

Omar berkata, dari Januari hingga 21 Februari lalu, 2,299 individu ditahan atas pelbagai kesalahan mengikut Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Akta Racun 1952.

“Daripada jumlah ini, 168 ditangkap kerana mengedar dadah untuk disiasat mengikut Seksyen 39B, Seksyen 39A (2) dan 39A (1) Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Rampasan dadah jenis syabu adalah tertinggi tahun ini dengan catatan 3.9 kilogram dan diikuti dengan daun ketum iaitu enam kilogram,” katanya.

Sementara itu, Omar berkata, ‘Ops Sarang’ yang dijalankan di Wilayah Persekutuan Labuan menyaksikan penahanan 68 orang termasuk seorang wanita.

“Daripada jumlah itu, tujuh orang yang ditahan dibuka kertas siasatan mengikut Seksyen 39A (1), Seksyen 12 (2) dan Seksyen 15 (1) (A) Akta Dadah Berbahaya 1952, dengan jumlah rampasan 11.08 gram dadah jenis syabu,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 Februari 2019 @ 6:11 PM