Nurul Fhatihah Zakinan


SYARIKAT swasta dipelawa membangunkan stesen sisa pepejal kepada tenaga (WTE) di setiap negeri dalam tempoh dua tahun akan datang.

Pelawaan itu dibuat kerajaan pusat berikutan keberkesanan sistem pengurusan pertama di Melaka.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin berkata, pelawaan itu dibuat susulan rancangan kerajaan Pusat menggantikan kaedah pelupusan sampah konvensional, kepada kaedah WTE yang dilihat lebih berkesan, jimat tenaga dan mampu menambah pendapatan.

“Melaka sebagai lokasi pelopor pembinaan WTE di tapak pelupusan sampah, Sungai Udang berkeluasan empat hektar, dan pembinaannya sesuai bagi menggantikan kaedah pelupusan sedia ada.

“Untuk itu kerajaan akan membuka tawaran kepada mana-mana syarikat yang berminat untuk mengendalikan WTE, kerana kos pelaburan rendah kira-kira RM500 juta bagi menyediakan stesen ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media, selepas mengadakan lawatan ke Tapak Pelupusan Sampah, Sungai Udang, Melaka, hari ini.

Ahli Parlimen Ampang itu berkata, kerajaan akan memilih syarikat kontraktor yang tidak akan membebankan peruntukan kementerian, sebaliknya mampu melaksanakan projek itu dengan kos sendiri sebagai langkah berkesan menjimatkan kos.

“Syarikat mampu memperoleh hasil keuntungan dalam tempoh 15 tahun selepas menjana tenaga daripada sisa pepejal yang diproses,” katanya.

Kerajaan Melaka sebelum ini dilaporkan berkata, mahu membina stesen WTE bernilai RM3.6 juta bagi mengatasi masalah pelupusan sampah di negeri itu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 Februari 2019 @ 8:27 PM
ZURAIDA (kanan) mengadakan sidang media selepas membuat lawatan kerja ke Tapak Pelupusan Sampah, Sungai Udang. FOTO Rasul Azli Samad
ZURAIDA (kanan) mengadakan sidang media selepas membuat lawatan kerja ke Tapak Pelupusan Sampah, Sungai Udang. FOTO Rasul Azli Samad