GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Amin Ridzuan Ishak


KANAK-KANAK meninggal dunia dipercayai didera bapa tirinya di Kampung Padang Rumbia, di Pekan, semalam.

Mangsa yang berusia lima tahun itu disahkan meninggal dunia ketika mendapat rawatan di Klinik Kesihatan Padang Rumbia kira-kira, 4 petang.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri, Datuk Othman Nanyan berkata, siasatan awal mendapati ibu kandung dan bapa tiri mangsa membawa kanak-kanak itu di klinik berkenaan, namun disahkan meninggal dunia.

“Pemeriksaan awal oleh doktor mendapati ada kesan cedera disyaki akibat penderaan iaitu kesan lebam baru di dada, kesan cucuh api rokok di tapak kaki, bibir pecah, lebam sebelah mata kanan serta luka-luka kecil baru di bahagian kening kanan.

“Mayat kini kini berada di Hospital Pekan dan akan dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), Kuantan untuk bedah siasat pada hari ini untuk mengetahui punca kematian,” katanya, hari ini.

Beliau berkata, ibu kandung mangsa yang berusia 25 tahun dan bapa tirinya yang berusia 54 tahun ditahan bagi siasatan.

“Siasatan awal polis mendapati ayah tiri mangsa mengaku ada memukul mangsa pada tarikh kejadian (semalam).

“Kes diklasifikasi di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 Februari 2019 @ 9:02 AM