PEGAWAI pasukan khas Fast Action Team (FAT) merampas silinder gas petroleum cecair (LPG) bersubsidi dan diesel dari sebuah premis barangan lusuh di Kampung Melayu Subang di sini. Gambar Ihsan KPDNHEP
PEGAWAI pasukan khas Fast Action Team (FAT) merampas silinder gas petroleum cecair (LPG) bersubsidi dan diesel dari sebuah premis barangan lusuh di Kampung Melayu Subang di sini. Gambar Ihsan KPDNHEP
Mohd Jamilul Anbia Md Denin

IBARAT `gudang bom’ apabila sindiket penyelewengan gas petroleum cecair (LPG) bersubsidi dikesan menjadikan pusat pelupusan dan penjualan besi buruk sebagai stor menyembunyikan tong LPG dan minyak diesel.

Sindiket beroperasi di Kampung Melayu Subang di sini, dikesan menjadikan lokasi `pusat pembuangan sampah’ itu bagi mengaburi kegiatan sejak sekian lama.

Ketua Pegawai Penguatkuasa KPDNHEP Negeri Selangor Azman Adam berkata, aktiviti memindahkan gas LPG bersubsidi itu dibongkar pasukan khas Fast Action Team (FAT) ditubuhkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Selangor.

Dalam serbuan dilakukan jam 5 petang semalam, pasukan FAT berjaya membongkar premis pusat penjualan besi buruk dan pelupusan itu yang dijadikan markas operasi.

Sindiket dikesan sengaja membina halangan pada pintu masuk premis bertujuan menyukarkan pemeriksaan pihak berkuasa terhadap kawasan itu.

“Pihak KPDNHEP kemudian menemui tangki berisi 5,000 liter diesel selain deretan silinder gas LPG seberat 12 kilogram (kg) dan 14 kg di dalam premis itu.

“Turut ditemui 60 silinder gas oxy-acetylene selain invois belian diesel dan LPG milik sindiket,” katanya.

Menurutnya, siasatan mendapati premis itu tidak mempunyai kebenaran dan surat kuasa bagi penggunaan diesel dan gas silinder LPG bersubsidi.

“Susulan itu tindakan diambil mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan (AKB) 1961 yang boleh membawa hukuman denda sehingga RM1 juta dan enjara sehingga 3 tahun atau kedua-duanya.

“Siasatan lanjut masih dilakukan KPDNHEP Selangor bagi mengesan pemilik dan sindiket terbabit yang aktif beroperasi secara haram di sekitar negeri Selangor,” katanya.

Menurutnya, pihak KPDNHEP juga akan mengesan pembekal yang membekalkan barangan kawalan kepada pihak atau individu yang tidak berlesen itu.

“Sindiket diserbu ini dipercayai mengaut keuntungan dengan menggunakan LPG bersubsidi bagi tujuan perniagaannya sendiri,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 Februari 2019 @ 7:47 PM