ARUMUGAM hadir sebagai saksi ke-11 hadir bagi inkues menentukan punca kematian Muhammad Adib di Kompleks Mahkamah Shah Alam, hari ini. FOTO Zulfadhli Zulkifli.
ARUMUGAM hadir sebagai saksi ke-11 hadir bagi inkues menentukan punca kematian Muhammad Adib di Kompleks Mahkamah Shah Alam, hari ini. FOTO Zulfadhli Zulkifli.
Syah Rul Aswari Abdullah dan Sarah Zulkifli


SEORANG saksi memaklumkan kepada Mahkamah Koroner Shah Alam, hari ini, dia tidak melihat orang ramai menyerang jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan van Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dalam insiden kekecohan di Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Seafield, Subang Jaya, pada 27 November 2018.

Pemandu teksi, K Arumugam, 66, berkata ia berikutan perhatiannya tertumpu sepenuhnya terhadap jentera FRT yang secara tiba-tiba mengundur sebelum melanggar teksi Proton Exora dipandunya.

Ketika disoal Pegawai Pengendali Zhafran Rahim Hamzah sama ada saksi ke-11 inkues itu ternampak sesiapa turun atau naik jentera FRT ketika itu, Arumugam menjawab ‘saya rasa gelabah dan takut selepas teksi dilanggar...saya tidak ingat apa yang berlaku’.

Terdahulu, saksi itu dalam keterangannya memberitahu mahkamah dia berada di tempat kejadian kerana mahu pulang ke rumahnya yang terletak berhampiran dengan kuil itu selain laluan berkenaan tidak perlu membayar tol.

ZHAFRAN: Jadi, perhatian kamu di mana ketika FRT sedang mengundur?

ARUMUGAM: Perhatian saya sepenuhnya terhadap pengunduran FRT ketika itu.

ZHAFRAN: Ketika pemerhatian kamu, ada nampak sesiapa turun atau naik FRT?

ARUMUGAM: Saya rasa gelabah dan takut selepas van dilanggar... saya tidak ingat apa yang berlaku.

ZHAFRAN: Sebelum perlanggaran itu?

ARUMUGAM: Tak nampak.

Arumugam berkata, selepas dia dilanggar FRT, dia tidak dapat mengingati apa-apa mengenai kejadian itu disebabkan berasa pening dan takut.

ZHAFRAN: Selepas dilanggar jentera FRT, kamu ada nampak tak van EMRS?

ARUMUGAM: Tidak kerana saya sudah pening kepala.

Sementara itu, ketika ditanya peguam Syazlin Mansoor yang mewakili Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Arumugam berkata, dia turun dari keretanya yang dilanggar jentera FRT hanya selepas orang ramai membantunya.

“Saya turun dari teksi selepas dilanggar FRT untuk melihat kerosakan pada kenderaan sebelum masuk semula ke dalam,” katanya pada hari ketujuh inkues kematian Muhammad Adib Mohd Kassim di hadapan Koroner Rofiah Mohamad.

ROFIAH: Berapa lama kamu duduk dalam kereta selepas dilanggar sebelum dibantu orang ramai?

ARUMUGAM: Lebih kurang 20 ke 25 minit.

ROFIAH: Kamu buat apa dalam kereta?

ARUMUGAM: Pening dan duduk sahaja.

ROFIAH: Duduk sahaja? Pandang ke mana?

ARUMUGAM: Duduk sahaja. Pening-pening...hanya sedar selepas pintu kereta dibuka orang ramai.

Muhammad Adib, 24, yang juga anggota EMRS Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Subang Jaya, parah dalam rusuhan ketika kekecohan di tapak Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya pada 27 November tahun lalu.

Selepas 21 hari bertarung nyawa, Allahyarham menghembuskan nafas terakhir pada 17 Disember lalu di Institut Jantung Negara (IJN).

Prosiding inkues bersambung Khamis.

  • Lagi berita berkaitan Inkues Adib
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 Februari 2019 @ 6:17 PM