Antara gadis seksi yang ditahan dalam operasi malam tadi. FOTO Ihsan PDRM
Antara gadis seksi yang ditahan dalam operasi malam tadi. FOTO Ihsan PDRM
Hasbi Sidek


SAJIKAN tarian tiang dalam keadaan separuh bogel dan layanan ghairah gadis seksi.

Itu strategi pemasaran yang dilakukan sebuah pusat hiburan di Kota Damansara yang dikesan menjalankan kegiatan persundalan.

Malah ada pelanggan sanggup mengeluarkan wang sehingga RM500 untuk membelikan mahkota yang disediakan pemilik premis untuk dipakaikan kepada pelayan wanita yang pandai melayan mereka dan pelanggan juga boleh berunding untuk membawa pelayan wanita ke ranjang.

Bagaimanapun, kegiatan tidak bermoral pusat hiburan yang beroperasi sejak empat bulan lalu itu dihidu dan digempur sepasukan polis Bahagian Antimaksiat, Perjudian dan Kongsi Gelap (D7) Selangor jam 11.30 malam tadi.

Pegawai Turus D7 Selangor, Deputi Superintendan Mohd Khaizam Ahmad Shahbudin berkata, hasil risikan dan maklumat yang diperolehi, pihaknya melakukan serbuan di premis itu menerusi Ops Noda malam tadi.

“Dalam serbuan ini, seramai 27 individu ditahan membabitkan 13 lelaki termasuk lima warga Bangladesh membabitkan pengurus premis, pekerja selain 14 wanita dipercayai pelayan pelanggan atau GRO.

“Hasil dokumentasi mendapati semua wanita berkenaan adalah warga Thailand yang berusia dalam lingkungan 20-an. Wanita ini menyalahgunakan pas lawatan sosial untuk masuk ke dalam negara ini,” katanya.

Katanya, pelanggan yang mengunjungi premis berkenaan akan dilayan wanita warga asing terbabit dan dalam masa masa turut menyajikan tarian tiang.

“Pelanggan akan memberi tips serendah RM100 untuk setiap pelekat yang akan ditampal pada GRO ini. “Pelanggan yang tertarik dengan layanan ghairah ini juga sanggup membayar RM300 hingga RM500 untuk setiap mahkota,” katanya.

Beliau berkata, pemeriksaan mendapati premis berkenaan hanya mempunyai lesen perniagaan kafe, tetapi tidak memiliki lesen hiburan serta lesen minuman keras.

“Kami merampas resit harian, mahkota, minuman keras, pelekat, peralatan audio serta wang tunai RM1,225,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 16 Februari 2019 @ 6:08 PM