AKSEM Perlis menyerbu sebuah rumah yang dijadikan setor simpanan ketum berjumlah RM17,040 di Jalan Kaki Bukit awal pagi, semalam. FOTO Ihsan AKSEM
AKSEM Perlis menyerbu sebuah rumah yang dijadikan setor simpanan ketum berjumlah RM17,040 di Jalan Kaki Bukit awal pagi, semalam. FOTO Ihsan AKSEM
Oleh Dziyaul Afnan Abdul Rahman


AGENSI Kawalan Sempadan Malaysia (AKSEM) Perlis berjaya menyerbu sebuah rumah yang dijadikan stor penyimpanan lebih setengah tan daun ketum sebelum di seludup ke Thailand bernilai RM17,040 di Jalan Kaki Bukit, Padang Besar di sini, semalam.

Komander AKSEM Perlis, Syed Basri Syed Ali berkata, dalam serbuan jam 4.30 pagi itu pihaknya mendapati rumah terbabit tidak berpenghuni.

“Berdasarkan maklumat risikan AKSEM negeri, kami mendapati rumah terbabit dijadikan pusat pengumpulan daun ketum sebelum diseludup ke negara jiran.

“Anggota yang tiba di rumah berkenaan ada mengetuk pintu rumah terbabit, bagaimanapun tiada jawapan dan kami terpaksa memecahkan pintu rumah itu,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Syed Basri berkata, sejurus pintu rumah itu dipecahkan, pihaknya menemui 568 kilogram daun ketum yang dibungkus ke dalam ratusan plastik kecil.

“Bagi operasi semalam, tiada tangkapan dilakukan namun kita sudah mengesan pemilik rumah berkenaan melalui alamat pada bil elektrik rumah berkenaan.

“Kita percaya mereka yang terbabit akan dapat diberkas bagi membantu siasatan,” katanya.

Beliau berkata, kesemua daun ketum berkenaan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Padang Besar dan kes diserahkan kepada Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD Padang Besar untuk tindakan selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 Februari 2019 @ 3:39 PM