Keadaan motosikal yang ditunggangi mangsa musnah terbakar selepas berlanggar dengan pacuan empat roda. FOTO Ihsan PDRM
Keadaan motosikal yang ditunggangi mangsa musnah terbakar selepas berlanggar dengan pacuan empat roda. FOTO Ihsan PDRM
Noor Hidayah Tanzizi


LELAKI warga Indonesia maut selepas motosikal ditungganginya dilanggar pacuan empat roda di Kilometer 28 Jalan Teluk Intan-Sitiawan berhampiran Sungai Ranggam di Kampung Gajah, petang hari ini.

Dalam kejadian kira-kira 3.55 petang itu, mangsa yang dikenali sebagai Muari, 47, maut di tempat kejadian akibat parah pada kepala.

Kemalangan itu turut menyebabkan motosikal Honda Wave yang ditunggangi mangsa itu terbakar.

Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Superintendan Mohamad Zainal Abdullah berkata, pihaknya menerima maklumat kemalangan membabitkan motosikal ditunggang mangsa dengan Mitsubishi Triton itu pada 4 petang.

Menurutnya, siasatan awal di tempat kejadian mendapati pacuan empat roda itu dari arah Sitiawan menghala ke Teluk Intan, manakala motosikal dari arah bertentangan.

“Ketika pacuan empat roda berkenaan melalui jalan itu, tiba-tiba motosikal ditunggang mangsa yang datang dari arah bertentangan masuk ke simpang sebelah kanan.

“Oleh kerana jarak yang dekat, Mitsubishi Triton itu tidak sempat mengelak lalu melanggar motosikal berkenaan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Katanya, akibat kemalangan itu penunggang motosikal meninggal dunia di tempat kejadian, manakala pemandu pikap iaitu lelaki berusia 27 tahun tidak cedera.

“Mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Changkat Melintang untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 Februari 2019 @ 12:01 AM