POLIS berjaya menahan suspek selepas merampas dadah jenis syabu yang sorok dalam bekas menyimpan cermin mata dalam satu serbuan di tingkat bawah sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Baru, Batu 2 Jalan Apas, Tawau. FOTO Ihsan PDRM
POLIS berjaya menahan suspek selepas merampas dadah jenis syabu yang sorok dalam bekas menyimpan cermin mata dalam satu serbuan di tingkat bawah sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Baru, Batu 2 Jalan Apas, Tawau. FOTO Ihsan PDRM
Abdul Rahemang Taiming


HELAH lelaki menyorokkan dadah dalam bekas menyimpan cermin mata berjaya dikesan polis dalam serbuan di tingkat bawah rumah tidak bernombor di Kampung Baru, Batu 2 Jalan Apas di Tawau, semalam.

Serbuan dilakukan sepasukan pegawai dan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau, diketuai Inspektor Syed Muhammad Iqbal Syed Yassin kira-kira 2 petang.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Fadil Marsus berkata, serbuan dijalankan susulan maklumat risikan mengenai kegiatan pengedaran dan penyalahgunaan dadah di kediaman berkenaan.

Katanya, semasa pemeriksaan ke atas tubuh badan suspek, polis tidak mengesan apa-apa barang terlarang, namun selepas pemeriksaan lanjut kemudiannya telah menemui satu bekas kotak menyimpan cermin mata berwarna putih di atas lantai di dalam satu daripada bilik di rumah berkenaan.

“Terdapat enam paket plastik lutsinar berlainan saiz yang di dalamnya mengandungi bahan ketulan hablur jernih dengan anggaran berat 5.2 gram disyaki dadah jenis syabu bernilai RM500,” katanya, hari ini.

Fadil berkata, siasatan awal mendapati suspek yang juga penganggur itu memperoleh bekalan dadah daripada pengedar tempatan dipercayai untuk diedarkan dan dijual selain untuk kegunaan sendiri.

Katanya, ujian saringan air kencing juga mendapati suspek positif dadah jenis Methampathamin selain mempunyai tiga rekod jenayah lampau berkaitan dadah di Penampang, Sandakan dan Tawau antara tahun 2015 hingga 2017.

“Suspek kini ditahan reman untuk siasatan lanjut masing-masing mengikut Seksyen 39A (1) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 15(1)(a) akta yang sama,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 Februari 2019 @ 9:57 AM