Anggota bomba berusaha mengeluarkan suami isteri dan dua anak mereka yang terbabas dalam kemalangan di Jalan Alor Setar - Kangar. FOTO Ihsan Bomba
Anggota bomba berusaha mengeluarkan suami isteri dan dua anak mereka yang terbabas dalam kemalangan di Jalan Alor Setar - Kangar. FOTO Ihsan Bomba
Dziyaul Afnan Abdul Rahman


SUAMI isteri maut dalam kemalangan jalan raya selepas kereta dipandu anak lelaki mereka terbabas di Jalan Alor Setar - Kangar, Sanglang, Kangar hari ini.

Mangsa, Ibrahim Mustafa, 60, dan isteri, Zaiton Salleh, 60, dari Kuala Perlis maut di tempat kejadian akibat parah anggota badan.

Dua anak mereka, Mohd Noor Iman Ibrahim, 22, dan Nur Ayu Nadia Ibrahim, 16, masih dirawat di Unit Kecemasan Hospital Tuanku Fauziah, Kangar.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Perlis berkata, dalam kejadian jam 4 pagi itu, Proton Persona dari Alor Setar yang dipandu anak lelaki mangsa terbabas dan melanggar sebatang pokok di tepi jalan.

“Kami menerima panggilan kecemasan jam 4.47 pagi tadi berhubung kemalangan membabitkan satu keluarga di Jalan Alor Setar - Kangar.

“Tujuh anggota dari Balai Bomba Simpang Empat bergegas ke tempat kejadian dan mengeluarkan semua mangsa yang berada di dalam kereta pada jam 5.32 pagi.

“Pasangan terbabit disahkan meninggal dunia oleh Pegawai Perubatan di tempat kejadian dan dua anak mereka dibawa ke HTF untuk rawatan lanjut,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 2 Februari 2019 @ 1:31 PM