KEMALANGAN maut yang membabitkan penunggang motosikal dengan lori pada awal pagi tadi di Jalan Batu Feringgi. FOTO Ihsan PDRM
KEMALANGAN maut yang membabitkan penunggang motosikal dengan lori pada awal pagi tadi di Jalan Batu Feringgi. FOTO Ihsan PDRM
Shamsul Munir Safini


LELAKI maut dalam kemalangan babitkan motosikal dan treler di Jalan Sungai Emas, Batu Feringghi, 7.50 pagi, hari ini.

Dalam kejadian itu, mangsa Al Jasfuan Arbain @ Jais, 26, yang menunggang motosikal, maut di tempat kejadian selepas terbabas dan terperosok di bawah kenderaan berat itu.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Che Zaimani Che Awang berkata, mangsa menunggang motosikal jenis Yamaha Lagenda dari Tanjung Bungah menghala ke rumahnya di Batu Ferringhi.

“Sebaik sampai di Jalan Batu Feringghi (selekoh) berdekatan Pantai Miami, mangsa gagal mengawal motosikal ditunggangnya dan memasuki laluan bertentangan menyebabkannya terbabas sebelum terperosok di bawah treler yang berada di laluan itu.

“Mangsa maut di tempat kejadian dan mayatnya dibawa ke Jabatan Perubatan Forensik Hospital Pulau Pinang (HPP) untuk bedah siasat,” katanya.

Menurutnya, pemandu treler berusia 43 tahun ditahan untuk diambil keterangan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 Februari 2019 @ 1:25 PM