NILAI: Nilai dan Seremban menjadi dua lokasi termasuk dalam kumpulan G40 yang merekodkan kadar kemalangan terbesar di negara ini.

Penolong Pengarah Urusetia Kawalan Lalu Lintas Bukit Aman, Deputi Superintendan Dr Bakri Zainal Abidin berkata, dua kawasan itu antara 40 dari 165 daerah yang kerap berlaku kemalangan.

Katanya, ia membabitkan laluan lebuh raya, jalan persekutuan, jalan negeri, jalan bandaran dan jalan kampung.

“Dua lokasi ini dalam pemerhatian polis berikutan statistik menunjukkan kadar kemalangan amat kerap berlaku.

“Pengguna dinasihatkan agar lebih berwaspada dan berhati-hati ketika memandu khusus sepanjang musim perayaan,” katanya pada Program Kesedaran Kemalangan sempena Tahun Baru Cina 2019 di Aeon Nilai, semalam.

Hadir sama Pengerusi Kelab Jaringan Komuniti (KJK), Mohd Rozimi Esa.

Beliau berkata, semakan mendapati kemalangan kerap berlaku ketika musim perayaan dan ia membabitkan penduduk setempat.

DR Bakri ketika menyampaikan risalah berkaitan kempen keselamatan jalan raya kepada pengunjung di Pasaraya Aeon Nilai sempena Ops Selamat Tahun Baru Cina 2019. FOTO Hazreen Mohamad.
DR Bakri ketika menyampaikan risalah berkaitan kempen keselamatan jalan raya kepada pengunjung di Pasaraya Aeon Nilai sempena Ops Selamat Tahun Baru Cina 2019. FOTO Hazreen Mohamad.

Menurut Dr Bakri, statistik menunjukkan 5,543 kemalangan berlaku di daerah ini dengan 76 individu maut pada tahun lalu.

Mengulas mengenai program itu beliau berkata, 17 pegawai dan anggota dibantu 15 ahli KJK turun bertemu pelanggan pasar raya bagi memberikan kesedaran berkaitan kemalangan jalan raya.

Menurutnya, pihaknya turut menasihatkan pemilik rumah supaya memaklumkan balai polis berhampiran sebelum pulang bercuti, termasuk dengan menyertakan butiran seperti jumlah hari mereka akan meninggalkan kediaman masing-masing.

“Program ini adalah kesinambungan pelancaran Op Selamat di Kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Seremban 12 Januari lalu,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 31 January 2019 @ 12:00 PM