Polis menemui syabu dalam kereta Kancil. FOTO Ihsan Polis
Polis menemui syabu dalam kereta Kancil. FOTO Ihsan Polis
Junaidi Ladjana


SUAMI isteri ditahan selepas dipercayai terbabit dalam aktiviti penyalahgunaan dadah di Beaufort Square, Beaufort semalam.

Pasangan berusia 54 dan 47 tahun itu ditahan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Beaufort jam 11.50 pagi.

Ketua Polis Daerah Beaufort, Deputi Superintendan Azmir Abd Razak berkata, dalam operasi itu polis menahan sebuah Perodua Kancil kerana disyaki terbabit dengan aktiviti dadah.

“Selepas memperkenalkan diri sebagai anggota polis, pemeriksaan dilakukan dan menemui satu paket plastik berisi hablur dan ketulan dipercayai dadah jenis syabu di hadapan gear kereta yang dibaluti dengan tuala oren dan putih.

“Dadah seberat 12.84 gram bernilai RM1,200 bersama tangkapan kemudian dibawa ke IPD Beaufort untuk tindakan lanjut,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Azmir berkata, ujian air kencing mendapati lelaki terbabit positif syabu manakala isterinya negatif dan siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengetahui sumber dadah diperoleh.

“Kedua-dua suspek adalah suami isteri dan didapati suspek lelaki mendapat bekalan dadah daripada seorang lelaki di pekan Beaufort.

“Mereka direman untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 15(1)(a) akta sama,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 30 January 2019 @ 11:17 AM