Pengerusi Jawatankuasa Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Teo Kok Seong beramah mesra bersama Shaik Dawood (kanan) dan Abdul Kadir (dua dari kanan). FOTO Iqmal Haqim Rosman
Pengerusi Jawatankuasa Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Teo Kok Seong beramah mesra bersama Shaik Dawood (kanan) dan Abdul Kadir (dua dari kanan). FOTO Iqmal Haqim Rosman
Nur Aqidah Azizi


DUA rakan tidak menyangka tahun akhir perkhidmatan mereka dengan SWM Environment Sdn Bhd (SWM) mencatat kenangan manis apabila menerima Pingat Jasa Kebaktian (PJK) hari ini.

Penganugerahan disempurnakan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir sempena hari keputeraan baginda yang ke-71 di Istana Besar Seri Menanti di sini.

Sheikh Dawood A.A.S.M Sheikh Mohamed, 60, yang bersara pada 24 Januari lalu berkata, anugerah diterima itu adalah penghargaan tertinggi buatnya selepas berkhidmat selama 17 tahun di SWM.

“Tidak pernah saya bayangkan dapat menerima anugerah seperti ini. Rasa seperti bermimpi,” katanya ditemui selepas majlis penganugerahan itu.

Sheikh Dawood yang bertugas sebagai pemandu berkata, anugerah itu menyemarakkan semangatnya untuk kembali berkhidmat kepada masyarakat meskipun sudah bersara.

“Selama ini, saya menjalankan tugas dengan ikhlas dan tidak pernah mengejar anugerah.

“Anugerah ini satu bonus dan beri lebih semangat untuk kembali bertugas jika syarikat masih memerlukan khidmat dan tenaga saya,” katanya yang berasal dari Rembau.

Rakannya, Abdul Kadir Abdul Ghani, 59, yang bakal bersara empat bulan lagi tetap bersemangat meneruskan tugas sebagai pemandu SWM.

“Saya terkejut apabila dimaklumkan bakal menerima anugerah di Istana Seri Menanti.

“Saya rasa teruja kerana ini kali pertama saya menjejak kaki ke istana meskipun sudah bermastautin di Negeri Sembilan lebih empat dekad,” katanya.

Abdul Kadir berkata, empat anaknya turut menyatakan rasa bangga dengan anugerah yang diterimanya selepas berkhidmat di SWM sejak 2002.

“Saya berharap anugerah ini dapat menaikkan semangat rakan-rakan lain di SWM untuk terus menjalankan amanah yang diberi dengan ikhlas.

“Anugerah ini satu tanggungjawab supaya saya dapat terus menunjukkan contoh baik kepada yang lain,” katanya.

Majlis turut dihadiri Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun dan Pengurus SWM Wilayah Melaka dan Negeri Sembilan, Dr Al’Ashari Othman.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 28 January 2019 @ 6:25 PM