Mohd Abdillah (tengah) dijatuhi hukuman penjara sembilan tahun dan empat sebatan di Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu hari ini kerana meliwat rakan sebiliknya. FOTO Zatul Iffah Zolkiply.
Mohd Abdillah (tengah) dijatuhi hukuman penjara sembilan tahun dan empat sebatan di Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu hari ini kerana meliwat rakan sebiliknya. FOTO Zatul Iffah Zolkiply.
Zatul Iffah Zolkiply


SEORANG bekas banduan dijatuhi hukuman penjara sembilan tahun dan empat sebatan di Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu hari ini kerana meliwat rakan sebiliknya ketika mereka menjalani hukuman penjara di Dungun.

Tertuduh, Mohd Abdillah Mat Nasin, 34, mengaku salah terhadap pertuduhan mengikut Seksyen 377C Kanun Keseksaan kerana melakukan persetubuhan yang bertentangan dengan aturan tabii.

Hakim Rofiah Mohamad membuat keputusan itu selepas tertuduh mengaku salah ketika dipanggil membela diri pada akhir perbicaraan.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan persetubuhan yang bertentangan dengan aturan tabii terhadap mangsa yang ketika kejadian berusia 25 tahun di sebuah penjara di Dungun jam 3 pagi pada 31 Ogos 2017.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya, Zulfazliah Mahmud manakala tertuduh diwakili peguam, Nik Ismail Nik Lah.

Mengikut fakta kes, pegawai penjara yang bertugas di pusat berkenaan menerima aduan kira-kira jam 7.45 pagi pada 28 September 2017 memaklumkan mangsa dipaksa melakukan hubungan seks di luar tabii.

Hasil soal siasat, mangsa mengaku diliwat tertuduh. Ketika kejadian, mangsa ditahan di penjara berkenaan kerana kesalahan dadah manakala tertuduh pula dipenjara selama lima tahun kerana memiliki senjata berjadual.

Tertuduh yang dibebaskan pada 13 Mac 2018 ditahan semula untuk perbicaraan kes berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 28 January 2019 @ 6:14 PM