PEGUAM Syarie membaca ikrar aku janji pada Majlis Pengisytiharan dan Penyampaian Sijil Peguam Syarie Negeri Selangor. FOTO Roslin Mat Tahir
PEGUAM Syarie membaca ikrar aku janji pada Majlis Pengisytiharan dan Penyampaian Sijil Peguam Syarie Negeri Selangor. FOTO Roslin Mat Tahir
Siraj Mohd Zaini


PEGUAM syarie di Selangor digesa menjaga etika profesion termasuk tidak mengenakan yuran guaman melampau kepada pelanggan yang ingin mendapatkan perkhidmatan mereka.

Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) Datuk Mohammed Khusrin Munawi berkata, kerjaya sebagai peguam syarie bukan bersandarkan kepada keuntungan dan bayaran tinggi semata-mata, tetapi turut menekankan aspek ibadah, kemanusiaan serta kebajikan.

Menurutnya, Jawatankuasa Peguam Syarie Selangor yang dipengerusikannya menerima banyak aduan membabitkan pelanggaran etika peguam syarie khususnya isu yuran guaman yang tinggi, masalah disiplin selain tidak mengikuti ajaran Ahli Sunnah Wal Jamaah.

“Kesan daripada aduan ini, MAIS sendiri atas perakuan Jawatankuasa Peguam Syarie Selangor pernah mengeluarkan perintah supaya peguam syarie yang diadu digugurkan daripada Daftar Peguam Syarie Selangor, digantung sijil amalan guaman serta diberi amaran.

“Oleh itu, besarlah harapan saya agar semua peguam syarie yang baharu dilantik hari ini dapat menjaga integriti, disiplin dan tingkah laku masing-masing, sesuai dengan imej yang dibawa sebagai peguam syarie,” katanya ketika berucap pada Majlis Pentauliahan dan Penyampaian Sijil Peguam Syarie Negeri Selangor, di Shah Alam, hari ini.

Pada majlis berkenaan seramai 62 peguam syarie bagi sesi 2017-2018 menerima sijil pentauliahan masing-masing selepas melalui pelbagai syarat dan kriteria yang ditetapkan oleh MAIS.

Turut hadir, Ketua Hakim Syarie Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) Datuk Mukhyuddin Ibrahim, Ketua Hakim Syarie Selangor, Mohammad Adib Husain serta Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM) Musa Awang.

Sementara itu, ketika ditemui selepas majlis berkenaan, Muhammed Khusrin berkata, MAIS tidak bercadang untuk membuat garis panduan berkenaan yuran guaman dan hanya mengharapkan kerjasama daripada peguam syarie supaya tidak meletakkan harga terlalu tinggi.

“Di mahkamah sivil pun tiada (garis panduan), kita tidak mahu mengawal kebebasan peguam, kerana ia bergantung pada kadar pasaran dan lain-lain faktor.

“Cuma pelanggan perlu mencari peguam yang menawarkan yuran lebih rendah sekiranya mereka kurang berkemampuan,” katanya ketika ditemui pemberita selepas majlis berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 28 January 2019 @ 2:30 PM