Basharuddin (kiri) bersama tiga pekerjanya menebar roti canai pada satu masa di atas meja sama. FOTO Nor Farhani Che Ad
Basharuddin (kiri) bersama tiga pekerjanya menebar roti canai pada satu masa di atas meja sama. FOTO Nor Farhani Che Ad
Nor Farhani Che Ad
cnews@nstp.com.my


KEDAI makan yang terletak di Kota Kuala Muda, Sungai Petani mempunyai keistimewaan tersendiri apabila menggunakan khidmat empat penebar roti canai dalam satu masa di atas sebuah meja sama.

Walaupun terletak di pekan kecil, namun kedai makan itu dikunjungi ramai pelanggan dari kawasan sekitar dan luar terutama pada hari cuti.

Pemilik kedai, Basharuddin Bahari, 46, berkata, penggunaan empat penebar roti canai termasuk dia sendiri yang menjalankan tugas itu adalah bagi memenuhi pesanan pelanggan yang adakalanya mencapai 300 hingga 400 keping sehari.

“Kaedah ini adalah bagi memastikan pelanggan saya dapat menikmati roti canai yang masih panas dan baru dimasak.

“Saya tak suka simpan stok roti canai yang sudah dimasak di dalam bekas makanan tahan panas kerana rasanya berbeza berbanding roti canai yang disediakan dalam keadaan baru dimasak,” katanya.

Basharuddin berkata, permintaan roti canai di kedainya juga tinggi ketika awal pagi hari bekerja kerana ramai pelanggannya yang dalam perjalanan ke tempat kerja singgah membeli roti canai.

“Pada waktu ini orang tak mahu tunggu lama, ada kena hantar anak ke sekolah lepas itu ke tempat kerja.

“Ada juga yang membuat pesanan banyak untuk dibawa ke tempat kerja, jadi masa ini kita guna empat orang penebar roti canai,” katanya.

Basharuddin berkata, tiada teknik istimewa digunakan ketika empat penebar roti canai melakukan tugas itu, sebaliknya ia bergantung kepada keselesaan masing-masing.

“Memandangkan kami menggunakan meja sama, kami tak boleh tebar tinggi-tinggi.

“Arah roti canai ditebar juga bergantung pada keselesaan masing-masing, ada tebar di sebelah kanan, ada kiri,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 28 January 2019 @ 11:35 AM