Laporan portal berita Harian Metro.
Laporan portal berita Harian Metro.
Olivia Miwil


MASIH ada tindakan yang lebih baik boleh diambil untuk mengatasi isu kucing jalanan atau terbiar berbanding menempatkan haiwan itu di sebuah pulau.

Aktivis haiwan, Tan Sri Lee Lam Thye berkata, lebih baik haiwan itu diberikan kepada pencinta haiwan yang sanggup mengambil kucing atau haiwan liar lain.

“Cadangan menjadikan pulau kucing tidak praktikal kerana jumlah kehadiran kucing itu akan mengganggu ekosistem,” katanya di Kota Kinabalu hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas laporan media sebelum ini berhubung cadangan sukarelawan Persatuan Mencegah Kekejaman Terhadap Haiwan (SPCA), Dr Randolf Paza yang mencadangkan menjadikan sebuah pulau sebagai tempat tinggal kucing liar.

Lam Thye yang juga penaung SPCA Selangor berkata, antara yang menjadi kebimbangan kelak adalah kos penjagaan dan pengurusan sekiranya cadangan itu menjadi kenyataan.

Katanya, penyelesaian yang lebih baik adalah untuk mewujudkan lebih ramai komuniti pencinta haiwan.

“Tempat perlindungan yang sederhana boleh dibina sama ada di kawasan ladang atau perumahan sebagai tempat perlindungan sementara bagi haiwan liar,” katanya.

Beliau berkata, penyelesaian jangka panjang dan mampan akan menggalakkan pemilik haiwan supaya lebih bertanggungjawab terhadap haiwan kesayangan mereka.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 26 January 2019 @ 4:40 PM