Hanneeyzah Bariah Baharin


WANITA warga Kemboja didenda RM10,000 oleh Mahkamah Sesyen Kemaman, hari ini, selepas dia mengaku bersalah atas pertuduhan menggunakan kad pengenalan palsu.

Hakim Badrul Munir Mohd Ramdy menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh yang berusia 35 tahun berasal dari Phnom Penh, Kemboja.

Beliau turut memerintahkan wanita itu dipenjara 12 bulan, jika dia gagal membayar denda berkenaan.

Tertuduh yang gagal membayar denda berkenaan turut diperintahkan untuk diusir ke negara asalnya selepas tamat menjalani hukuman di Kompleks Penjara Bentong, Pahang.

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh didakwa menggunakan kad pengenalan palsu ketika berurusan di kaunter Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) daerah Kemaman kira-kira jam 5 petang pada 16 Januari lalu, untuk membuat permohonan pindaan sijil lahir anaknya.

Dengan itu dia didakwa mengikut Peraturan 25(1)(e) Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990 (Pindaan 2007) yang jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara tidak lebih tiga tahun atau denda tidak lebih RM20,000 atau kedua-duanya sekali.

Mengikut fakta kes, tertuduh didakwa menggunakan kad pengenalan palsu untuk membuat pindaan terhadap sijil lahir anaknya berusia tiga tahun, dengan niat untuk mendapatkan kewarganegaraan.

Wanita itu yang berkahwin dengan seorang lelaki warga Rohingya mendakwa memperoleh kad pengenalan palsu berkenaan daripada sebuah ejen.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa JPN Terengganu, Mohd Walfazri Harun, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 24 January 2019 @ 6:39 PM