KENDERAAN rasmi yang membawa Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin tiba di pekarangan pintu utama Istana Negara. FOTO Mohd Yusni Ariffin
KENDERAAN rasmi yang membawa Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin tiba di pekarangan pintu utama Istana Negara. FOTO Mohd Yusni Ariffin
Meor Riduwan Meor Ahmad


RAJA-RAJA Melayu tiba di Istana Negara, Kuala Lumpur, hari ini bagi menghadiri mesyuarat khas Majlis Raja Raja untuk memilih Yang di-Pertuan Agong dan Timbalan Yang di-Pertuan Agong ke-16 untuk tempoh lima tahun.

Kebarangkatan tiba Raja-Raja didahului Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah diikuti Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar yang tiba di Istana Negara pada 10 pagi.

Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Sultan Ahmad Shah Al-Musta’in Billah yang baru dimasyhurkan sebagai Sultan Pahang keenam pula tiba pada 10.12 pagi diikuti Sultan Kedah, Sultan Kedah Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah seminit kemudian dan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah pada 10.17 pagi.

Tepat 10.20 pagi, kelihatan Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail tiba diikuti Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin dua minit kemudian.

Sementara itu, Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir pula tiba pada 10.28 pagi sebelum pagar utama Istana Negara ditutup.

Bagaimanapun setakat ini tidak kelihatan kenderaan rasmi membawa Sultan Kelantan Sultan Muhammad V memasuki istana.

Difahamkan mesyuarat khas Majlis Raja-Raja akan bermula 10.30 pagi tadi.

Mesyuarat khas Majlis Raja-Raja diadakan di Istana Negara susulan peletakan jawatan Sultan Muhammad V sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-15 pada 6 Januari lalu.

Jawatan Timbalan Yang di-Pertuan Agong kini dipegang Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah yang turut memangku jawatan Yang di-Pertuan Agong sehingga urusan pelantikan ketua negara yang baharu selesai.

Menurut Seksyen 2, Jadual Ketiga Perlembagaan Persekutuan, Majlis Raja-Raja hendaklah menawarkan jawatan Yang di-Pertuan Agong kepada Raja yang layak dipilih, yang negerinya ialah yang pertama dalam senarai pemilihan.

Terdapat beberapa faktor yang akan dipertimbangkan oleh Majlis Raja-Raja menerusi undi rahsia bagi menentukan pengganti seterusnya seperti baginda yang dilantik berkenan untuk menjadi Yang di-Pertuan Agong dan tidak mengalami kelemahan atau ketidakupayaan mental.

Selain itu, baginda yang dilantik adalah raja yang berada di kedudukan teratas, mendapat sokongan sekurang-kurangnya lima raja lain serta bukan seseorang yang memegang jawatan Yang di-Pertuan Agong selama dua penggal berturut-turut.

Sementara itu, suasana di pekarangan Istana Negara meriah dengan kehadiran pengamal media dan pelancong asing yang teruja bertanyakan apa acara yang berlangsung.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 24 January 2019 @ 11:39 AM