Dua bot nelayan Vietnam yang ditahan dibawa ke Jeti APMM Kemaman. FOTO Rosli Ilham
Dua bot nelayan Vietnam yang ditahan dibawa ke Jeti APMM Kemaman. FOTO Rosli Ilham
BERNAMA

AGENSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menahan dua bot bersama 11 nelayan Vietnam, termasuk tekong kerana menceroboh perairan negara, kira-kira 50 batu nautika dari Kuala Kemaman, Chukai, semalam.

Pengarah Maritim Zon Kemaman, Komander Maritim Rashidihadi Abd Rashid berkata, bot yang ditahan pada jam 12.20 tengah hari itu didapati tidak memiliki sebarang dokumen atau permit kebenaran yang sah daripada Jabatan Perikanan Malaysia, manakala sebuah bot lagi mempunyai dokumen lesen perikanan yang meragukan.

“Kami turut menemui kira-kira 50 kilogram hasil laut jenis gamat di dalam satu daripada bot yang diperiksa.

“Semua bot, termasuk hasil dan peralatan menangkap ikan yang dianggarkan bernilai RM600,000 berserta awak-awak berusia antara 25 dan 48 tahun dibawa ke Jeti Zon Maritim Kemaman untuk siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataannya, hari ini.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Akta Perikanan 1985 yang memperuntukkan denda tidak melebihi RM1 juta terhadap pemilik serta tekong, dan tidak melebihi RM100,000 bagi awak-awak, atau penjara tidak melebihi dua tahun, jika sabit kesalahan.

Mengikut rekod, sejak 2006 hingga kini, APMM Terengganu melakukan 648 tangkapan membabitkan pelbagai kesalahan di perairan negeri.

Rashidihadi berkata, APMM memandang serius isu pencerobohan nelayan asing dan akan meningkatkan rondaan serta kawalan di Zon Maritim Malaysia bagi memastikan perairan negara sentiasa selamat dan terpelihara.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 January 2019 @ 10:21 PM