ZULFAMY (tiga dari kiri) bersama pegawai pelbagai agensi menunjukkan serbuk kopi dirampas dari sebuah kilang selepas halalnya tamat tempoh sejak 2016. FOTO Rosli Ilham.
ZULFAMY (tiga dari kiri) bersama pegawai pelbagai agensi menunjukkan serbuk kopi dirampas dari sebuah kilang selepas halalnya tamat tempoh sejak 2016. FOTO Rosli Ilham.
Rosli Ilham


KEMENTERIAN Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) cawangan Kemaman merampas 7,565 paket serbuk kopi dalam operasi di sebuah kilang memproses kopi terkenal di Chukai, semalam.

Rampasan itu dibuat selepas KPDNHEP mendapati kilang terbabit dipercayai menggunakan sijil pengesahan halal daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) yang sudah tamat tempoh.

Ketua Pegawai Penguatkuasa KPDNHEP Terengganu, Zulfamy Mat Udi berkata, sijil pengesahan halal itu tamat tempoh pada 2016.

“Berikutan itu, kami merampas serbuk kopi diproses di kilang terbabit dianggarkan bernilai RM 10,466.

“Turut dirampas sebuah alat penimbang di kilang terbabit kerana disyaki tidak ditentusahkan oleh Inspektor Timbang dan Sukat,” katanya.

Zulfamy berkata, operasi membabitkan kerjasama Pejabat Kesihatan Kemaman, Majlis Perbandaran Kemaman (MPK) dan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Terengganu (JHEAT) turut menyerbu dua lagi kedai kopi di daerah ini yang menggunakan kopi diproses dari kilang gagal mempamerkan sijil halal sah itu.

“Di kedai kopi pertama, kami merampas 550 paket serbuk kopi dianggarkan bernilai RM723.80 manakala di kedai kopi kedua, kami merampas 1,450 paket kopi bernilai RM1,908,” katanya.

Zulfamy berkata, pemilik kilang itu disiasat mengikut Perintah 4 Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) Akta Perihal Dagangan 2011 dan Seksyen 14 (6) Akta Timbang Sukat 1972.

Beliau berkata, seramai 30 pegawai dan anggota terbabit dalam operasi bersepadu itu yang menyasarkan restoran menggunakan logo halal serta ayat suci al-Quran.

“Operasi ini berkaitan dengan soal makanan halal yang sering mendapat perhatian serius oleh pengguna di Malaysia terutama mereka yang beragama Islam.

“Semua makanan dan barang tidak boleh diperihalkan sebagai halal kecuali diperakui sebagai halal oleh pihak berkuasa dan mengeluarkan logo halal JAKIM dan Majlis Agama Islam Negeri,” katanya.

Sementara itu, Zulfamy berkata, dalam operasi itu MPK mengeluarkan kompaun sebanyak RM1,250 kepada pengendali makanan atas pelbagai kesalahan.

Katanya, Pejabat Kesihatan Daerah Kemaman pula mengeluarkan lima kompaun bernilai RM2,700 atas pelbagai kesalahan dilakukan pemilik premis makanan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 January 2019 @ 6:25 PM