SUSPEK ditahan AADK Daerah Tampin ketika menjalankan pemeriksaan di sebuah rumah di Gemas. FOTO ihsan AADK
SUSPEK ditahan AADK Daerah Tampin ketika menjalankan pemeriksaan di sebuah rumah di Gemas. FOTO ihsan AADK
Mohd Helmi Irwadi Mohd Nor


SEORANG penagih yang ditahan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Daerah Tampin di sebuah rumah di Gemas, hari ini, memberi alasan perlu menggunakan dadah bagi merawat kanser perut.

Pengarah AADK Negeri Sembilan, Nazira Sadiron berkata, serbuan dilakukan di rumah ibu suspek jam 3 pagi .

Katanya, lelaki itu memberitahu dia perlu menggunakan dadah bagi mengurangkan penderitaan akibat penyakit yang dihidapi sejak 2017.

“Siasatan mendapati suspek yang juga penganggur mula menagih dadah sejak tahun lalu. Ujian air kencing mendapati dia positif syabu,” katanya kepada NSTP, hari ini.

Penahanan itu dibuat mengikut Seksyen 3 (1) Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983.

Nazira berkata, serbuan yang dilakukan 10 anggota AADK daerah bermula 10 malam hingga 3.30 pagi bertujuan melaksanakan operasi waran dan aduan awam.

Katanya, pada operasi yang sama pihaknya menahan seorang penagih lelaki berusia 35 tahun di Felda Pasir Besar, Tampin.

“Lelaki ini menjadi buruan kerana melanggar syarat iaitu tidak melapor diri di pejabat AADK daerah. Dia ditahan mengikut Seksyen 6 (2) (c) Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983,” katanya.

Menurutnya, pihaknya komited untuk membasmi aktiviti penagihan dadah di negeri ini.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan penyalahgunaan dadah diminta menyalurkan maklumat kepada Cawangan Penguatkuasaan dan Keselamatan AADK di talian 06-7678954,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 January 2019 @ 5:33 PM