FOTO arkib NSTP
FOTO arkib NSTP
Mohd Husni Mohd Noor


SEORANG bekas pengurus kanan produk sebuah syarikat ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), hari ini bagi membantu siasatan kes menerima suapan dianggarkan bernilai lebih RM2 juta.

Sumber berkata, lelaki berusia 40 tahun itu ditahan pada 4.35 petang di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya selepas hadir memberi keterangan.

Menurutnya, siasatan awal mendapati suspek menerima suapan lebih RM2 juta daripada sebuah syarikat sebagai balasan bagi meluluskan nota kredit untuk tujuan rebat, insentif dan pengiklanan komponen komputer kepada penjual yang dikeluarkan kepada syarikat terbabit.

“SPRM akan mendapatkan perintah tahanan reman terhadap suspek pagi esok di Mahkamah Majistret Putrajaya.

“SPRM juga sedang mengesan beberapa lagi individu bagi membantu siasatan kes sama. Suspek disiasat mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Siasatan SPRM, Datuk Seri Simi Abdul Ghani ketika dihubungi mengesahkan penahanan itu namun tidak mengulas lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 January 2019 @ 10:20 PM