Zatul Iffah Zolkiply


PENUNTUT sebuah institut latihan menanggung kesakitan selepas dibelasah tiga lelaki tidak dikenali dalam kejadian di Gong Badak, Kuala Nerus Selasa lalu.

Bukan itu saja, wang RM21 milik remaja lelaki berusia 18 tahun terbabit turut dilarikan dalam kejadian jam 12.30 tengah hari.

Menurut sumber, kejadian berlaku ketika mangsa berseorangan di dalam bilik asrama di institut itu sebelum didatangi tiga lelaki dengan dua daripadanya masuk ke bilik manakala seorang lagi berada di hadapan pintu.

Katanya, seorang daripada lelaki itu meminta wang daripada mangsa sebelum remaja lelaki terbabit memaklumkan tidak mempunyai wang.

“Lelaki itu yang tidak berpuas hati dengan jawapan mangsa menumbuk pipi dan badan mangsa sebelum seorang daripadanya menyeluk poket seluar mangsa yang disangkut di katil lalu mengambil wang RM21.

“Pada masa sama, seorang lagi suspek menendang mangsa menyebabkannya jatuh.

“Tidak setakat itu saja dua lagi penuntut yang kebetulan lalu di hadapan bilik mangsa turut dipukul namun mereka berjaya melarikan diri sebelum tiga lelaki itu beredar meninggalkan lokasi kejadian.

“Kejadian itu menyebabkan mangsa yang bengkak pipi kanan dan sakit bahu kanan membuat laporan di Balai Polis Gong Badak keesokan hari untuk tindakan lanjut,” katanya.

Sementara itu, Pemangku Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Superintendan Suffian Sulaiman ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kejadian.

Katanya, siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 384 Kanun Keseksaan kerana pemerasan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 19 January 2019 @ 4:02 PM