Rumah mangsa yang terbakar hari ini. FOTO Ihsan Bomba
Rumah mangsa yang terbakar hari ini. FOTO Ihsan Bomba
Badrul Kamal Zakaria


LELAKI berusia 48 tahun melecur kira-kira 30 peratus pada bahagian badan dan lengannya ketika cuba memadamkan kebakaran rumahnya di Jalan Abdullah, Pekan Panchor, Muar hari ini.

Dalam kejadian jam 9 pagi itu, M Vengadasalam cuba memadamkan kebakaran yang berlaku di kediaman dua tingkat itu sebelum tiba-tiba api menyambar badannya.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pagoh, Penolong Penguasa Bomba Nurashid Mamat berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 9.21 pagi sebelum sebuah jentera bersama lima anggota dikejarkan ke lokasi.

“Ketika tiba di lokasi, kita mendapati hampir keseluruhan rumah dua tingkat yang dibina dari batu dan papan terbakar keseluruhan.

“Bomba berjaya mengawal kebakaran dan operasi ditamatkan pada jam 11.48 pagi.

“Dalam kejadian ini, mangsa yang juga pemilik rumah melecur kira-kira 30 peratus pada bahagian tubuh dan lengan tangannya.

“Mengikut saksi kejadian, mangsa terkena sambaran api ketika cuba memadamkan kebakaran,” katanya.

Nurashid berkata, mangsa dibawa ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) dengan ambulans untuk mendapatkan rawatan dan dilaporkan berada dalam keadaan stabil.

Katanya, kebakaran itu juga menyebabkan 80 peratus rumah dua tingkat itu musnah terbakar dan setakat ini punca serta nilai kerugian masih dalam siasatan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 18 January 2019 @ 4:07 PM