ISMAIL melukis di galeri di rumahnya di Kampung Paya Rambai. FOTO Syaherah Mustafa
ISMAIL melukis di galeri di rumahnya di Kampung Paya Rambai. FOTO Syaherah Mustafa
HM Digital

Kota Bharu: Bangunan dan tempat menarik di bandar ini diabadikan dalam lukisan cat air oleh seorang pelukis supaya ia dijadikan kenangan untuk generasi akan datang.

Ismail Kadir, 67, yang sudah 35 tahun berkecimpung dalam bidang lukisan mengambil inisiatif berbuat demikian kerana mahu lokasi dipilih itu terus diingati generasi akan datang.

Beliau yang juga Yang Dipertua Persatuan Seni Lukis Kelantan, berkata antara lokasi diabadi dalam lukisan adalah Pasar Besar Siti Khadijah, Jeti Kastam Di-Raja, Kampung Sungai Keladi, Stesen Bas Kota Bharu, Masjid Al Muhammadi dan Rumah Rakit Sungai Kelantan.

“Alhamdulillah saya terdetik mengabadikan keindahan dalam lukisan dan generasi baharu boleh melihatnya sebagai sejarah di Kota Bharu.

“Setiap sudut pandangan dilakar serta diwarnakan pada sebuah lukisan yang sama dengan alam nyata supaya tiada sedikit pun sudut yang terlepas dengan keindahannya.

“Biasanya saya akan melukis di lokasi atau mengambil foto sebelum memulakan lukisan di rumah yang juga galeri saya iaitu di Kampung Paya Rambai,” katanya yang sudah merantau ke lebih 23 negara termasuk England, Turki, China, Taiwan dan India kerana mendapat jemputan untuk menyertai pameran.

ISMAIL menunjukkan sebahagian lukisan cat air yang dihasilkannya. FOTO Syaherah Mustafa
ISMAIL menunjukkan sebahagian lukisan cat air yang dihasilkannya. FOTO Syaherah Mustafa

Ismail yang menerima pelbagai anugerah termasuk Anugerah Penghargaan Karyawan Kelantan 2013 berkata, potret Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang dilukisnya pernah dijual pada harga RM36,000.

Katanya, harga bagi sesebuah lukisan bergantung kepada nilai gambar itu sendiri dan biasanya ia perlu dirujuk kepada Balai Seni Lukis Negara.

“Antara tokoh menjadi idola saya dalam bidang ini ialah Khalil Ibrahim dan Hossein Anas. Bagi saya untuk menjadi pelukis yang dapat menghasilkan lukisan yang terbaik perlu ada minat mendalam selain kesabaran tinggi,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 14 January 2019 @ 12:30 PM