ORANG ramai tidak melepaskan peluang membaca berita berhubung peletakan Sultan Muhammad V sebagai Yang di-Pertuan Agong XV. FOTO Syamsi Suhaimi
ORANG ramai tidak melepaskan peluang membaca berita berhubung peletakan Sultan Muhammad V sebagai Yang di-Pertuan Agong XV. FOTO Syamsi Suhaimi
Nor Fazlina Abdul Rahim


KERAJAAN negeri Kelantan mengingatkan semua pihak supaya tidak membuat sebarang spekulasi berhubung peletakan jawatan Sultan Muhammad V sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-15, berkuat kuasa semalam.

Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata, semua pihak perlu menghormati keputusan Tuanku.

"Justeru, tidak elok kita membuat sebarang spekulasi kerana tiada gunanya kita mencari sebab. Itu hak Tuanku untuk meletakkan jawatan, jadi tidak perlu kita persoalkan tindakannya itu.

"Saya sendiri tidak tahu apa puncanya kerana menerusi surat yang dikeluarkan juga tidak menyatakan perkara itu. Saya menasihatkan semua pihak supaya tidak membuat sebarang spekulasi yang tidak mendatangkan sebarang faedah kepada diri kita sendiri.

"Baginda berhak berkahwin dengan sesiapa sahaja. Adapun dalam soal perkahwinan ada peraturan yang digariskan untuk melantik Raja Perempuan Kelantan. Namun baginda nak berkahwin dengan siapa-siapa tidak menjadi masalah. Pelantikan Raja Perempuan juga hak Sultan namun perlu mengikut peraturan yang ada," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditanya berhubung penularan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Kelantan berkaitan pelantikan Raja Perempuan Kelantan yang menjadi penyebab kepada peletakan jawatan Sultan Muhammad V.

Akhbar hari ini melaporkan, Yang di-Pertuan Agong ke-15, Sultan Muhammad V mengumumkan peletakan jawatan baginda sebagai ketua negara berkuat kuasa semalam, selepas dua tahun melaksanakan tugas.

Pengumuman itu dibuat Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Datuk Wan Ahmad Dahlan Ab Aziz dalam satu kenyataan semalam yang memaklumkan peletakan jawatan baginda dibuat selaras Perkara 32(3) Perlembagaan Persekutuan.

Katanya, perkara itu dimaklumkan secara rasmi kepada Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja melalui warkah yang diutuskan kepada Setiausaha Majlis Raja-Raja.

Ketika ditanya adakah kerajaan negeri sudah menerima pemakluman rasmi mengenai peletakan jawatan Sultan Muhammad V, Mohd Amar memaklumkan beliau tidak mengetahui perkara berkenaan.

  • Lagi berita berkaitan Agong letak jawatan
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 7 January 2019 @ 3:41 PM