MOHAMAD Sabu berbual dengan ayah Allahyarham Muhammad Adib, Mohd Kassim Abdul Hamid ketika melawat keluarga Allahyarham di Kampung Tebengau, Kuala Kedah. FOTO Amran Hamid
MOHAMAD Sabu berbual dengan ayah Allahyarham Muhammad Adib, Mohd Kassim Abdul Hamid ketika melawat keluarga Allahyarham di Kampung Tebengau, Kuala Kedah. FOTO Amran Hamid
Suzalina Halid


KEMENTERIAN Pertahanan hanya menunggu 'isyarat' daripada Kementerian Luar untuk membawa keluar penuntut Malaysia yang terkandas di Khartoum, Sudan, susulan pergolakan yang berlaku di ibu negara itu.

Menterinya, Mohamad Sabu berkata, pihaknya sudah bersedia daripada aspek aset Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menerusi pesawat C-130 Hercules dan Airbus A400M untuk membawa pulang 105 penuntut Malaysia itu.

"Kita bersedia hanya menunggu arahan dan kerjasama daripada Kementerian Luar dan isyarat daripada kedutaan kita di Khartoum, kalau mereka kata perlu dan kita akan membawa mereka pulang, " katanya pada sidang media, di Alor Setar.

Terdahulu, Mohamad yang juga Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH) melawat rumah keluarga Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kasim, 24, iaitu anggota bomba yang maut, awal bulan lalu ketika menjalankan tugas ketika rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman di Subang Jaya, November lalu.

Sebelum ini, 105 penuntut Malaysia ‘terperangkap’ ekoran penutupan universiti yang disebabkan pergolakan yang berlaku di Khartoum sejak 19 Disember lalu berikutan tunjuk perasaan di timur Sudan bagi membantah kenaikan harga roti.

Tunjuk perasaan berlaku selepas kerajaan baru-baru ini, bertindak menaikkan harga roti sebanyak AS$0.20 sen hingga AS$0.60 sen (RM0.80 hingga RM2.50) di seluruh negara.

Sementara itu, berhubung bantahan Malaysia mengenai pencerobohan ruang udara sekitar Pasir Gudang, Mohamad berkata, perbincangan di peringkat Majlis Keselamatan Negara memutuskan kenyataan akan hanya dibuat oleh Kementerian Luar.

"Kita bincang di peringkat Majlis Keselamatan Negara di mana saya anggotanya dan memutuskan sebarang kenyataan hanya dikeluarkan Kementerian Luar dan saya tidak akan menambah apa-apa, " katanya.

Sebelum ini, Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah berkata pihaknya akan membincangkan mengenai pencerobohan ruang udara negara oleh pesawat yang mahu mendarat di Lapangan Terbang Seletar, Singapura dengan rakan sejawat, Dr Vivian Balakrishan, Selasa ini.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 6 January 2019 @ 1:42 PM