Zuliaty Zulkiffli

“SAYA terjaga dari tidur sebaik ayah menjerit ‘api... api’ dan ketika itu baru nak melelapkan mata namun ternampak api makin besar di bahagian atas rumah.

“Saya berlari ke bilik air untuk mengisi air dalam baldi dan cuba memadam api namun gagal kerana api semakin marak menyebabkan saya berlari keluar bersama mama dan ayah untuk menyelamatkan diri,” kata Raja Shahril Asyraf Raja Nahar.

Raja Shahril Asyraf, 25, yang juga anggota bomba dan baru bertugas di Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jalan Raja sejak tiga bulan lalu berkata, dia menumpang di rumah ibu dan bapa angkatnya di Kampung Tok Gelam, Mukim Naga itu sejak bekerja di sini selepas tamat rekrut.

Dia yang berasal dari Perak bernasib baik kerana tidak bertugas malam tadi dan kejadian berlaku. 11. 45 malam.

"Saya tak sempat berbuat apa-apa kerana apa yang penting nyawa ayah, Mohd Zain Seman, 49, dan mama, Rohana Ahmad, 50, perlu diselamatkan namun semua barangan dalam rumah ini musnah.

"Turut hangus dua buah motosikal dan 10 ekor burung peliharaan serta dua ekor ayam piru rentung dalam kebakaran ini namun kami bertiga terselamat," katanya ketika ditemui di lokasi kebakaran di Jitra, hari ini.

Sementara itu, Komander Operasi dari Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penguasa Bomba Zamani Ismail berkata, pihaknya menerima panggilan pada 12 tengah malam dan tiba di lokasi kira-kira lima minit kemudian.

Beliau berkata, operasi bermula sejurus sepasukan 10 anggota BBP Jitra yang diketuai Pegawai Bomba Kanan II Adnan Ahmad tiba di lokasi bersama dua buah jentera dan sebuah Jentera Perkhidmatan Perubatan Kecemasan (EMRS).

"Setibanya di lokasi didapati api sedang marak di rumah dua tingkat separa batu dan papan itu yang membabitkan kemusnahan 90 peratus.

"Api dikawal pada 12.49 tengah malam dan tiada kemalangan jiwa atau kecederaan dilaporkan dalam kebakaran itu," katanya.

Zamani berkata, setakat ini punca dan kerugian masih dalam siasatan.

Pegawai Khas Menteri Besar Kedah, Hassanudin Samsudin turut mengunjungi keluarga itu dan menyampaikan sumbangan dari Menteri Besar untuk kegunaan mereka.

Gambar dan Video Zuliaty Zulkiffli

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 6 January 2019 @ 10:55 AM
PEGAWAI Forensik JBPM Kedah melakukan siasatan di rumah yang terbakar di Kampung Tok Gelam, Mukim Naga. FOTO Zuliaty Zulkiffli
PEGAWAI Forensik JBPM Kedah melakukan siasatan di rumah yang terbakar di Kampung Tok Gelam, Mukim Naga. FOTO Zuliaty Zulkiffli