SERAMAI 150 ahli kariah Masjid Saidina Umar Al-Khattab di Kampung Guar Syed Alwi berhimpun selepas solat Jumaat mendesak Mufti Perlis dan Pengarah JAIPs meletakan jawatan berhubung pemecatan 25 imam kariah negeri Perlis. FOTO Dziyaul Afnan Abdul Rahman
SERAMAI 150 ahli kariah Masjid Saidina Umar Al-Khattab di Kampung Guar Syed Alwi berhimpun selepas solat Jumaat mendesak Mufti Perlis dan Pengarah JAIPs meletakan jawatan berhubung pemecatan 25 imam kariah negeri Perlis. FOTO Dziyaul Afnan Abdul Rahman
Dziyaul Afnan Abdul Rahman


IMAM kariah negeri yang ditamatkan kontrak perkhidmatan mereka Selasa lalu, diminta menerima keputusan yang dibuat Majlis Agama Islam dan Adat Isitadat Melayu Perlis (MAIPs) dan Jabatan Agama Islam Perlis (JAIPs) itu dengan hati terbuka.

Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, sebarang tindakan yang boleh menimbulkan sebarang salah sangka terhadap keputusan MAIPs hendaklah dielak kerana tiada pihak mendapat manfaat daripadanya.

“Berhubung perkembangan semasa berkaitan perubahan urus tadbir di masjid negeri Perlis, maka hendaklah diketahui bahawa adalah menjadi hasrat MAIPs mencapai matlamat kecemerlangan dalam pengurusan.

“Untuk itu, MAIPs sudah menggariskan beberapa panduan dalam mencapai maksud terbabit sebagai satu proses berterusan membabitkan pelbagai aspek termasuk pengendalian dan pengimarahan masjid.

“Bagi menunaikan hasrat berkenaan, agensi di bawah MAIPs sudah dipertanggungjawab menjalankan fungsi dan peranan yang sewajarnya,” titahnya.

Kelmarin NSTP melaporkan seramai 25 imam kariah sekitar Perlis dipecat, manakala lebih 10 lagi ditukarkan ke kariah lain tanpa alasan melalui surat berkuatkuasa Selasa lalu.

Surat yang dikeluarkan JAIPs bertarikh 31 Disember 2018 itu dilihat dibuat secara tergesa-gesa kerana tiada rekod rujukan pada bahagian atas surat ditulis, selain notis yang dikeluarkan itu dianggap terlalu singkat.

Tuanku Syed Faizuddin yang juga Yang Dipertua MAIPs bertitah, antara langkah terbabit termasuklah dengan melantik imam dan jawatankuasa baharu bagi masjid di seluruh Perlis yang dilaksanakan secara berperingkat.

“Tujuan di sebalik proses ini adalah bagi memberikan suntikan nafas baharu selaras objektif yang ditetapkan MAIPs.

“Pada masa sama, MAIPs sentiasa menghargai sumbangan dan pengorbanan besar yang sudah diberikan Imam, Pegawai Masjid, Nazir, Jawatankuasa Kariah dan mereka yang terbabit dalam menunaikan amanah yang diberikan sebelum ini,” titahnya.

Berikutan itu, baginda meminta semua imam terbabit menerima keputusan yang dibuat MAIPs dan terus memberikan sokongan tidak berbelah bahagi kepada imam dan jawatankuasa masjid yang baharu dilantik.

Berita berkaitan

[UPDATE] Keputusan sudah muktamad - Mufti Perlis

Mufti Perlis, Pengarah JAIPs didesak letak jawatan

[UPDATE] Dipecat kerana masalah disiplin, faktor usia

'Surat lain yang sampai...'

[UPDATE] Mufti jawab dalam kuliah malam ini...

'Hanya istana boleh lakukan' - Mufti Perlis

Perlis pecat 25 imam

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 5 January 2019 @ 9:30 AM