Mohd Anwar Patho Rohman


SEMUA 109 penuntut Malaysia yang berada di Sudan berada dalam keadaan selamat dan menjalani aktiviti harian seperti biasa.

Kementerian Pendidikan berkata, setakat ini lima penuntut sudah pulang ke Malaysia manakala baki 104 lagi masih berada Khartoum, kawasan yang berlakunya rusuhan.

Bagaimanapun, penuntut yang tinggal di negara berkenaan dinasihatkan supaya mengambil langkah berjaga-jaga.

“Pergolakan yang berlaku sekitar Khartoum membabitkan kawasan Araba yang jaraknya kira-kira 10 sehingga 15 kilometer dari penempatan penuntut Malaysia.

“Kawasan lain yang berlaku rusuhan adalah Atbara dan Gedarif yang mempunyai jarak 350 kilometer dari Khartoum, kawasan berkenaan ketika ini terkawal,” katanya dalam satu kenyataan di Kuala Lumpur, hari ini.

Seramai 105 penuntut Malaysia sebelum ini dilaporkan ‘terperangkap’ ekoran penutupan universiti disebabkan pergolakan yang berlaku di Khartoum, Sudan sejak 19 Disember lalu.

Menurut kenyataan, universiti di Sudah ditutup sejak dua minggu lalu dan akan dibuka semula selepas mendapat makluman daripada pihak berkuasa Sudan.

“Kedutaan Malaysia di Sudan menasihatkan penuntut Malaysia agar kembali ke tanah air ketika universiti berkenaan ditutup,” kata kenyataan itu.

Berita berkaitan:

  • ATM sedia bawa pulang penuntut Malaysia
  • 105 penuntut Malaysia 'terperangkap'
  • Penuntut di Sudan tunggu keputusan
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 4 January 2019 @ 6:52 PM