GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Siraj Mohd Zaini


KETERUJAAN dua sahabat yang keluar memancing berakhir dengan tragedi apabila seorang daripada mereka ditemui lemas selepas bot yang dinaiki terbalik dipukul angin kencang serta laut bergelora, di Klang, semalam.

Mangsa yang terselamat dikenali sebagai Amir Hamzah Mohd Jani, 55, ditemui pasukan penyelamat ketika sedang berpaut pada tong minyak selama hampir empat jam berhampiran jeti Stesen Janakuasa Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Kapar.

Difahamkan, dia bersama rakannya iaitu Syed Noor Masadi, 51, menaiki bot berkenaan pada 3 pagi semalam dan kejadian malang itu berlaku pada 11.30 pagi ketika mereka dalam perjalanan pulang ke jeti.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Selangor, Kapten Maritim Mohammad Rosli Kassim berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 3.15 petang sebelum bergerak ke lokasi kejadian.

Menurutnya, Amir Hamzah berjaya ditemui pasukan penyelamat pada 3.15 petang dan rakannya tidak ditemui bersamanya.

“Justeru itu, pasukan penyelamat memulakan operasi mencari pada jarak satu batu nautika dari lokasi kejadian.

“Mangsa kedua ditemui 5.30 petang pada kedudukan 0.8 batu nautika berhampiran Perepat, Kapar dan sudah meninggal dunia,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mohammad Rosli berkata, kedua-dua mangsa dibawa ke jeti Pangkalan Polis Marin Pulau Indah dan mayat mangsa seterusnya dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang, untuk proses bedah siasat.

“Pihak APMM ingin mengingatkan supaya komuniti laut sentiasa mengambil berat soal keselamatan di laut.

“Penggunaan jaket keselamatan sangat perlu tanpa menganggapnya sebagai satu beban kerana ia boleh menyelamatkan nyawa sementara menunggu ketibaan bot penyelamat,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 4 January 2019 @ 1:42 PM