KEADAAN penuntut Malaysia di Sudan yang menjalani kehidupan biasa. FOTO NSTP
KEADAAN penuntut Malaysia di Sudan yang menjalani kehidupan biasa. FOTO NSTP
Fazrik Kamarudin


ANGKATAN Tentera Malaysia (ATM) khususnya Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) sedia untuk menerbangkan pesawat ke Sudan bagi membawa pulang 105 penuntut Malaysia yang berada di Khartoum, Sudan.

Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Zulkifli Zainal Abidin berkata, pihaknya juga memantau perkembangan situasi di Sudan.

“ATM menerusi Tentera Udara, kita sentiasa bersedia jika perkhidmatan kami diperlukan.

“Kita sedia untuk menerbangkan pesawat TUDM bagi membantu proses membawa pulang penuntut kita yang berada di sana.

“Buat masa ini, mereka diarah berehat di rumah, pihak kedutaan memantau status mereka, kita hanya menunggu dan bersedia,” katanya dalam sidang media selepas hadir menyempurnakan Majlis Amanat Tahun 2019 di Wisma Pertahanan, di Kuala Lumpur, hari ini.

Semalam, Harian Metro melaporkan seramai 105 penuntut Malaysia ‘terperangkap’ ekoran penutupan universiti yang disebabkan pergolakan yang berlaku di Khartoum, Sudan sejak 19 Disember lalu.

Pergolakan dilaporkan berlaku ekoran tunjuk perasaan di timur Sudan bagi membantah kenaikan harga roti.

Tunjuk perasaan berlaku selepas kerajaan baru-baru ini, bertindak menaikkan harga roti sebanyak AS$0.20 sen hingga AS$0.60 sen (RM0.80 sen hingga RM2.50) di seluruh negara.

Berita berkaitan:

  • 105 penuntut Malaysia 'terperangkap'
  • Penuntut di Sudan tunggu keputusan
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 4 January 2019 @ 12:21 PM