ANGGOTA Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) berjaya menangkap ular sawa batik seberat 10 kilogram di Lok Kawi Heights, Papar. FOTO Ihsam APM
ANGGOTA Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) berjaya menangkap ular sawa batik seberat 10 kilogram di Lok Kawi Heights, Papar. FOTO Ihsam APM
Rafiqah Dahali


WANITA yang tinggal di sekitar Lok Kawi Heights, dekat Papar terperanjat apabila melihat seekor ular sawa batik telah membaham 10 ekor ayam di dalam reban, pagi hari ini.

Palmenah Indesar, 32, pekerja di pasar raya berkata, dia terlihat ular itu di dalam reban ayam kepunyaan bapanya ketika ingin memberi ayam itu makan, kira-kira 8 pagi.

“Saya lazimnya memberi makan ayam peliharaan bapa di reban pada 8 pagi. Bagaimanapun, saya terkejut apabila melihat ada seekor ular sawa batik yang panjang di reban itu.

“Lebih mengejutkan, ular sawa batik yang kekenyangan itu telah memakan semua 10 ekor ayam di dalam reban itu sekali gus semua ayam itu habis ditelannya.

“Risau dengan keselamatan ahli keluarga, saya terus menghubungi Angkatan Pertahanan Awam Papar bagi menangkap ular itu,” katanya ketika dihubungi NSTP.

Sementara itu, Pegawai Pertahanan Awam (APM) Papar, Leftenan (PA) Abdul Razaq Basir berkata, pihaknya menerima panggilan daripada pengadu pada 8.51 pagi tadi.

“Sejurus menerima panggilan, seramai empat anggota bergegas ke lokasi. Kami mengambil masa kira-kira tiga minit untuk menangkap ular yang kekenyangan itu,” katanya.

Ular seberat kira-kira 10 kilogram (kg) itu adalah sepanjang 3.04 meter.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 1 January 2019 @ 3:49 PM