WARGA emas dihukum penjara 10 tahun kerana melakukan serangan seksual terhadap kanak-kanak. FOTO Zatul Iffah Zolkiply
WARGA emas dihukum penjara 10 tahun kerana melakukan serangan seksual terhadap kanak-kanak. FOTO Zatul Iffah Zolkiply
Zatul Iffah Zolkiply

WARGA emas yang juga pengasas taska dijatuhi hukuman penjara 10 tahun di Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu, hari ini kerana melakukan serangan seksual terhadap kanak-kanak perempuan.

Selain itu, tertuduh yang berusia 67 tahun turut diarahkan supaya menjalani kaunseling pemulihan ketika menjalani hukuman penjara dan diletakkan di bawah pengawasan polis untuk tempoh dua tahun selepas selesai menjalani hukuman penjara.

Hukuman itu diputuskan Hakim Azman Mustapha selepas tertuduh didapati bersalah terhadap pertuduhan mengikut Seksyen 14 (d) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan serangan seksual fizikal terhadap mangsa yang ketika kejadian berusia enam tahun di taska di daerah Kuala Terengganu antara 1 tengah hari hingga 2 petang pada 28 Ogos 2017.

Bagi kesalahan itu, tertuduh berdepan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan boleh dikenakan hukuman sebatan, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya, Syazwani Zawawi manakala tertuduh diwakili peguam, Mohd Hayyatuddin Muhamad.

Mengikut fakta kes, mangsa memaklumkan kepada bapanya yang dia tidak mahu pergi ke taska berkenaan ketika mereka dalam perjalanan kira-kira jam 7.45 pagi pada 29 Ogos 2017.

Mangsa memaklumkan dia selalu dicium tertuduh dan bapa mangsa bertanya apa lagi yang dilakukan tertuduh sebelum kanak-kanak terbabit memaklumkan tertuduh selalu mencium mulut dan kemaluannya.

Bapa mangsa kemudian berjumpa dengan tertuduh untuk bertanya mengenai kejadian itu dan tertuduh mengaku melakukan perbuatan itu sebelum satu laporan polis dibuat.

Pix ZATUL IFFAH ZOLKIPLY

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 31 Disember 2018 @ 5:52 PM