KEADAAN lori barang terbenam dalam lubang misteri di Kilometer 53 Jalan Sri Aman - Kuching berhampiran Lachau. FOTO Ihsan Bomba
KEADAAN lori barang terbenam dalam lubang misteri di Kilometer 53 Jalan Sri Aman - Kuching berhampiran Lachau. FOTO Ihsan Bomba
Joshua Eric


LORI muatan barang ‘terbenam’ dalam lubang dipercayai akibat mendapan di Kilometer 53 Jalan Sri Aman - Kuching berhampiran Lachau, di Sri Aman, hari ini.

Sumber memberitahu NSTP, lubang sebesar kira-kira dua meter itu disedari kira-kira 6 pagi tadi, akibat saliran paip air yang pecah di lokasi kejadian menyebabkan sebahagian struktur jalan berkenaan runtuh.

“Kejadian turut menyebabkan laluan berkenaan ditutup kepada semua lalu lintas di kedua-dua arah hingga menyebabkan berlaku kesesakan teruk,” katanya.

Katanya, kontraktor sedang giat menjalankan kerja-kerja membaikpulih laluan berkenaan.

“Pengguna jalan raya dinasihatkan berpatah balik memandangkan tiada jalan alternatif sementara menunggu laluan itu dibaik pulih,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sri Aman Deputi Superintendan Othman Sulaiman berkata, kerja membaik pulih kerosakan jalan di kawasan Rapak, Pantu dijangka akan selesai dalam tempoh enam jam.

Katanya, pengguna yang mahu menggunakan laluan dari Sri Aman ke Kuching dinasihatkan agar bersabar semasa melalui jalan raya terbabit nanti.

“Saya dimaklumkan oleh kontraktor Naim Gamuda bahawa kerja penyelenggaraan jalan rosak di Rapak akan selesai dalam tempoh enam jam.

“Namun begitu satu lorong jalan dari Sri Aman ke Kuching sudah dibuka sekarang dan boleh dilalui oleh kenderaan kecil,” katanya.

Tambahnya, anggota trafik sudah di tempatkan di lokasi kejadian untuk memantau keadaan lalu lintas dan operasi penyelenggaraan oleh pihak Naim Gamuda.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 Disember 2018 @ 11:07 AM