KETUA Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Mohd Taufik Maiden (dua kanan) bersama pegawainya menunjukkan sebahagian 100 Kilogram daun ketum dan 144 botol kecil ubat batuk yang dirampas daripada dua suspek utama yang ditahan di Kampung Simpang Empat Kundur, dekat Gua Musang, petang Sabtu lalu. FOTO Ramli Ibrahim
KETUA Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Mohd Taufik Maiden (dua kanan) bersama pegawainya menunjukkan sebahagian 100 Kilogram daun ketum dan 144 botol kecil ubat batuk yang dirampas daripada dua suspek utama yang ditahan di Kampung Simpang Empat Kundur, dekat Gua Musang, petang Sabtu lalu. FOTO Ramli Ibrahim
Ramli Ibrahim


DUA lelaki yang memandu dua kereta dalam keadaan mencurigakan membawa kepada penemuan 100 kilogram (kg) daun ketum dan 144 botol kecil ubat batuk di Kampung Simpang Empat Kundur, dekat Gua Musang, Sabtu lalu.

Suspek berumur 17 dan 26 tahun ditahan polis dalam satu operasi kerana cuba membawa daun ketum dalam 10 plastik sampah warna hitam untuk diproses dan dijual kepada penagih sekitar Gua Musang.

Ketua Polis Daerah, Superintendan Mohd Taufik Maidin berkata, pasukan narkotik dari Ibu Pejabat Daerah (IPD) menyerbu dua kereta itu pada 4.20 petang semasa suspek berhenti di tepi jalan di kampung berkenaan.

Beliau berkata, pada mulanya siasatan ke atas kereta menemui lima plastik hitam mengandungi 50 kg daun ketum sebelum menemui pula 72 botol kecil mengandungi cecair warna hitam dipercayai ubat batuk.

Mohd Taufik berkata, pemeriksaan ke atas sebuah lagi kereta turut menemui lima plastik hitam mengandungi 50 kg daun ketum dan 72 botol kecil mengandungi cecair warna hitam dipercayai ubat batuk.

Katanya polis menahan kedua lelaki itu yang dipercayai penduduk tempatan.

“Selepas itu, pasukan polis menyerbu pula rumah kosong tanpa nombor berhampiran kawasan itu selepas menerima maklumat orang awan menemui 1,269 botol kecil mengandungi cecair warna hitam dipercayai ubat batuk.

“Kesemua rampasan bernilai kira-kira RM20,000, ” katanya pada sidang media di pejabatnya di IPD, di Gua Musang, hari ini.

Mohd Taufik berkata, mereka yang ditahan itu akan didakwa di mahkamah mengikut Sek 12(2) ADB 1952 dan Sek 30(3) Akta Racun 1952.

Katanya, sepanjang tahun ini sahaja pihak polis berjaya menahan 1,219 penagih dan pengedar dadah di sekitar Gua Musang dan jumlah ini dianggap paling ramai berbanding tahun-tahun lalu.

“Daripada jumlah itu, 44 orang melakukan kesalahan sama sebanyak tiga kali dan sudah pun dituduh di mahkamah mengikut Sek 39C ADB 1952. Ada yang dijatuhkan hukuman paling kurang lima tahun penjara dan tiga sebatan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 26 Disember 2018 @ 11:17 AM