FOTO Hiasan
FOTO Hiasan
Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi


LELAKI dilaporkan hilang ketika memancing bersama rakan di kawasan perkelahan Air Terjun Pecah Batu, Trong, Taiping, semalam.

Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Taiping, Penolong Bomba Kanan II Abd Shukor Abd Hashim berkata, bomba menerima panggilan kejadian pada 9.16 malam dan segera ke lokasi kejadian untuk operasi mencari dan menyelamat.

Katanya, operasi mencari mangsa mula dilaksanakan malam tadi dan di tangguhkan pada 11.30 malam atas arahan pihak polis selepas misi pencarian mangsa tidak menemui sebarang petunjuk.

“Ketika kejadian, difahamkan mangsa dan rakan berpecah mencari lokasi memancing di kawasan itu.

“Sekembalinya rakan mangsa ke lokasi asal, dia mendapati mangsa telah tiada dan menyedari barangan peribadi milik rakannya berada berhampiran dengan air terjun itu.

“Rakan mangsa terlebih dahulu cuba mencari mangsa di lokasi kejadian bersama penduduk kampung, namun selepas usaha mereka gagal, barulah pihak bomba dimaklumkan,” katanya.

Katanya, pihaknya yang membuat operasi mencari di lokasi, mendapati keadaan air mengalir deras dan cuaca hujan.

Tambahnya lagi, operasi mencari ditangguhkan dan disambung semula pagi ini bersama beberapa agensi lain.

Dalam pada itu Timbalan Ketua Polis Daerah Taiping, Superintendan Razlam Ab Hamid ketika dihubungi mengesahkan kejadian dan menegaskan operasi mencari dan menyelamat mangsa akan diteruskan pagi ini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 Disember 2018 @ 10:37 AM