AMIRUDDIN (tiga dari kiri) menyampaikan sumbangan pakaian seragam sekolah kepada penerima di Baling, hari ini. Foto SAFURI KAMARUDIN
AMIRUDDIN (tiga dari kiri) menyampaikan sumbangan pakaian seragam sekolah kepada penerima di Baling, hari ini. Foto SAFURI KAMARUDIN
Safuri Kamarudin
cnews@nstp.com.my


KERAJAAN akan menetapkan harga lantai getah sekerap kepada RM2.50 sekilogram mulai Januari ini bagi mengelak pekebun getah terus terjejas akibat kejatuhan harga bahan komoditi itu.

Timbalan Menteri Kewangan Datuk Ir Amiruddin Hamzah berkata, langkah itu bagi memastikan harga getah sekerap kembali stabil selepas mengalami kejatuhan kepada RM1.90 sekilogram, ketika ini.

Katanya, penetapan harga lantai itu diharap dapat meringankan beban majoriti pekebun getah yang mengalami kemerosotan pendapatan.

“Penetapan harga lantai antara langkah yang diambil kerajaan bagi membantu pekebun getah akibat kejatuhan harga yang berlarutan sehingga kini.

“Pada masa sama, kita menggalakkan pekebun getah turut terbabit melakukan kerja sampingan bagi menambah pendapatan mereka pada masa hadapan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyampaikan sumbangan pakaian seragam persekolahan kepada 300 pelajar di Dewan Badminton Kupang, Baling, hari ini.

Sementara itu, dalam ucapannya, Amiruddin turut mengumumkan pendaftaran Bantuan Sara Hidup (BSH) akan bermula Januari ini dengan bayaran kepada penerima yang layak akan dibuat pada Mac 2019.

“Kita akan melakukan semakan dan membuat tapisan mengikut prosedur ditetapkan agar hanya penerima yang benar layak mendapat bantuan ini.

“Orang ramai boleh melakukan pendaftaran mulai Januari ini, manakala penerima sebelum ini diminta mengemaskini akaun bank mereka bagi memudahkan BSH disalurkan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 Disember 2018 @ 4:55 PM