LEBIH 300 kematian direkodkan akibat lemas dan angka itu meningkat ketika musim tengkujuh.
LEBIH 300 kematian direkodkan akibat lemas dan angka itu meningkat ketika musim tengkujuh.
Nurul Hidayah Bahaudin

Kuala Lumpur: Statistik dikumpul Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) merekodkan lebih 300 kematian akibat lemas dicatatkan di seluruh negara setiap tahun.

Jumlah ini adalah dua kali ganda berbanding mangsa yang maut akibat kejadian kebakaran dalam tempoh sama.

Ketua Cawangan Pusat Pengurusan Operasi JBPM Pauzan Ahmad berkata, secara purata, lebih 300 kematian direkodkan akibat lemas dan angka itu meningkat ketika musim tengkujuh.

“Bagi kes ketika musim banjir, sebanyak tiga kematian direkodkan bagi tempoh Oktober lalu hingga Disember ini termasuk kes seorang guru lelaki yang lemas di Setiu, Terengganu, baru-baru ini,” katanya ketika ditemui, semalam.

Pauzan berkata, pihaknya sudah merangka pelan kontigensi banjir di negeri seluruh negara bagi membuat persediaan menghadapi banjir.

“Pelan kontigensi itu bertindak dan berhubung dengan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Jabatan Meterologi serta Jabatan Kerja Raya bagi memantau pergerakan cuaca serta sungai yang berisiko banjir.

“Ia adalah sebagai amaran kepada penduduk setempat jika berlaku banjir besar yang menjejaskan kawasan tempat tinggal mereka,” katanya.

Beliau berkata, dalam kebanyakan kes, setiap kali musim banjir ramai pihak mengambil kesempatan untuk bermandi manda dan memancing sekali gus boleh mendorong berlakunya kejadian lemas.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 Disember 2018 @ 11:40 AM