NURINI Kassim. Foto BERNAMA
NURINI Kassim. Foto BERNAMA
BERNAMA

NURINI Kassim yang dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) yang baharu, mencatat sejarah sebagai wanita pertama menerajui agensi berita negara itu sejak penubuhannya 51 tahun lalu.

Beliau yang mempunyai latar belakang pengurusan dan sektor korporat bakal mengemudi agensi berita itu bagi tempoh dua tahun, menggantikan Datuk Zulkefli Salleh yang tamat tempoh perkhidmatan pada 3 Oktober lalu.

Pelantikan Nurini yang akan berkuat kuasa 1 Januari depan diumumkan Menteri Komunikasi dan Multimedia Gobind Singh Deo dalam satu kenyataan media, hari ini.

Mengulas pelantikan itu, Gobind menyifatkan Nurini adalah pilihan tepat dalam mengukuhkan kedudukan Bernama sebagai agensi berita di negara ini, khususnya dalam menyediakan model perniagaan agensi itu bagi menghadapi cabaran masa hadapan.

“Saya alu-alukan pelantikan beliau. Beliau adalah seorang yang berkebolehan dan pilihan tepat untuk kita sama-sama membina dan mengukuhkan lagi Bernama,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Bernama Datuk Seri Azman Ujang pula percaya dengan pengalaman luas Nurini dalam pelbagai bidang, beliau dapat memberi idea untuk membawa Bernama ke satu tahap yang lebih baik.

“Walaupun saya tahu cabaran yang besar buat beliau kerana landskap media sendiri sekarang ini mengalami satu keadaan yang agak mencabar dengan perkembangan media baharu,” katanya.

Sementara itu, mengulas mengenai pelantikannya, Nurini menyatakan beliau bersyukur kerana diberi peluang memimpin Bernama.

“Saya berbesar hati kerana diberi peluang untuk menerajui Bernama dan berharap dapat bekerjasama rapat dengan Menteri Komunikasi dan Multimedia Gobind Singh Deo dan pasukan di Bernama,” katanya dalam satu kenyataan.

Nurini, 55, berkelulusan MBA dari University of Hull, United Kingdom, adalah Ketua Jabatan Hal Ehwal Korporat Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sejak Oktober 2015.

Beliau yang berpengalaman 15 tahun di Suruhanjaya Sekuriti Malaysia sejak Ogos 2000 dengan mengetuai pelbagai bahagian termasuk Jabatan Hal Ehwal Korporat, Sekretariat bagi Dana Pembangunan Pasaran Modal, Unit Promosi Pasaran Modal dan Unit Projek Pembangunan Pasaran Modal Islam.

Nurini juga pernah berkhidmat di syarikat teknologi multinasional termasuk sebagai pengurus pemasaran di Sapura Systems Malaysia mulai 1994 hingga 1997 dan sebagai perunding projek di Hewlett-Packard Sales Malaysia pada 1990 hingga 1994.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 Disember 2018 @ 8:18 PM