Farah Suhaidah Othman

Ipoh: Jabatan Kesihatan Perak melakukan pemeriksaan di 33 premis menjual minuman beralkohol dan dua kilang pengeluaran minuman itu dalam Op Alkohol sejak 16 Oktober lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Hal Ehwal Pengguna, Masyarakat Sivil, Integrasi Nasional dan Sumber Manusia negeri A Sivanesan berkata, hasil pemeriksaan dua notis dengan nilai kompaun sebanyak RM6,000 dikeluarkan membabitkan kesalahan menjual minuman beralkohol kurang dari isi padu 700 mililiter (ml).

“Notis dikeluarkan kepada dua premis berkenaan di daerah Kinta berikutan kegagalan mematuhi peraturan baru 386A mengenai Sebatian Minuman Keras yang menjual minuman beralkohol di bawah isi padu 700 ml,” katanya dalam sidang media selepas menjalankan pemeriksaan Op Alkohol di sebuah premis di Jalan Tun Sambanthan, di sini, semalam.

Sivanesan berkata, dua notis dikeluarkan sebelum November lalu itu diteruskan dan pemilik dikehendaki membayar kompaun sebanyak RM6,000 kerana kesalahan berkenaan dilakukan sebelum pihak Kementerian Kesihatan membenarkan penangguhan syarat penjualan alkohol di bawah 700 ml menjadi satu kesalahan seperti diumumkan bulan lalu bagi membolehkan penjual menghabiskan jualan stok sedia ada.

PENGUAT kuasa menunjukkan tin minuman beralkohol yang rosak.
PENGUAT kuasa menunjukkan tin minuman beralkohol yang rosak.

Beliau berkata, dalam tempoh penguatkuasaan itu, Jabatan Kesihatan negeri turut mengambil 11 sampel minuman beralkohol bagi tujuan pemeriksaan isi kandungan minuman berkenaan, namun keputusan semua sampel belum diperoleh.

Katanya, pihak Kementerian Kesihatan mewartakan pindaan peraturan berkaitan minuman beralkohol di bawah Peraturan-Peraturan Makanan 1985 yang berkuat kuasa pada 16 Oktober lalu.

“Pindaan itu diwartakan berikutan tragedi membabitkan kes keracunan alkohol yang berlaku di beberapa negeri termasuk Selangor, Wilayah Persekutuan dan Perak.

“Di negeri ini, sebanyak 13 kes dilaporkan termasuk empat kes kematian membabitkan warga tempatan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 Disember 2018 @ 12:21 PM