SPAD, antara agensi yang dibubarkan sebelum ini. FOTO Arkib NSTP
SPAD, antara agensi yang dibubarkan sebelum ini. FOTO Arkib NSTP
Ahmad Suhael Adnan


TUN Dr Mahathir Mohamad berkata, kerajaan akan mengkaji semula nasib sejumlah penjawat awam yang kehilangan pekerjaan susulan pembubaran beberapa agensi sebelum ini.

Perdana Menteri berkata, kerajaan akan mempertimbangkan sama ada penjawat awam terbabit boleh kekal berkhidmat dengan jawatan masing-masing, sekiranya tidak terbabit salah laku dengan kerajaan terdahulu.

Beliau berkata, kerajaan sedang mengumpul data berhubung penjawat awam yang kehilangan punca pendapatan kerana penutupan agensi yang disalah guna kerajaan Barisan Nasional (BN).

“Kita terpaksa menutup beberapa agensi kerana ia disalahgunakan kerajaan terdahulu untuk kepentingan parti politik, namun apabila agensi itu dihentikan, ramailah pegawai dan kakitangan yang gugur.

“Kita fikir perlu dikaji semula sama ada mereka terbabit atau tidak (salah laku kerajaan terdahulu), serta boleh dikekalkan jawatan mereka.

“Walaupun ada antara mereka menjadi mangsa tindakan kita, kita akan beri perhatian pada masalah mereka kerana kebanyakannya tak terbabit dalam politik, sebaliknya hanya menjadi kakitangan kerajaan,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) di Petaling Jaya, hari ini.

Turut hadir, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail; Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Mohamad Sabu dan Timbalan Presiden DAP, Gobind Singh Deo.

Pada 23 Mei lalu, Dr Mahathir mengumumkan pembubaran beberapa agensi seperti Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD), Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA), Majlis Profesor Negara (MPN) dan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKKP).

Perdana Menteri juga pernah mengumumkan kerajaan menamatkan perkhidmatan kira-kira 17,000 penjawat awam berstatus kontrak kerana mereka adalah lantikan politik daripada pentadbiran kerajaan terdahulu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 8 Disember 2018 @ 4:39 PM