KEADAAN pacuan empat roda yang dinaiki Roslee (gambar kecil) yang terbabit dalam kemalangan di Kilometer 20, Jalan Dungun-Bukit Besi, Dungun, semalam. FOTO Rosli Ilham
KEADAAN pacuan empat roda yang dinaiki Roslee (gambar kecil) yang terbabit dalam kemalangan di Kilometer 20, Jalan Dungun-Bukit Besi, Dungun, semalam. FOTO Rosli Ilham
Rosli Ilham


“ALHAMDULILLAH, saya selamat... hanya cedera ringan dan sakit badan,” kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Besi, Roslee Daud selepas terbabit dalam kemalangan di Kilometer 20, Jalan Dungun-Bukit Besi, Dungun, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 11.30 malam, Roslee cedera di dahi, tangan kanan dan sakit di dalam badan.

Kejadian dipercayai berlaku apabila pacuan empat roda Mitsubishi Pajero yang dipandunya terbalik ketika mengelak lembu melintas.

Rosli berkata, beliau dari arah rumahnya di Kampung Bukit Besi untuk berjumpa rakan di sebuah kedai makan di Kampung Che Lijah.

“Saya memandu bersendirian dan tidak laju memandangkan ketika itu hujan dan jalan licin.

“Sampai di lokasi kejadian, tiba-tiba dua ekor lembu dari arah kanan jalan melintas dan saya cuba mengelak ke kiri sebelum kenderaan berpusing dan terbalik,” katanya.

Menurutnya, berikutan kejadian itu dia tercampak di tempat duduk penumpang depan.

“Saya merangkak keluar melalui cermin depan menyebabkan tangan saya luka terkena serpihan kaca cermin kereta.

“Saya bersyukur ketika kejadian tiada kenderaan di depan, dan jika tidak sudah tentu kemalangan lebih teruk,” katanya.

Katanya, dia kemudian meminta penduduk kampung menghantarnya pulang ke rumah.

“Kira-kira jam 1 pagi tadi, saya terasa sakit di seluruh badan sebelum meminta anak perempuan, Nurul Shahida, 30, menghantar saya ke Hospital Dungun.

“Terima kasih kepada semua yang membantu dan mendoakan saya,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dungun Superintendan Baharudin Abdullah ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 7 Disember 2018 @ 7:12 AM