FOTO Hiasan
FOTO Hiasan
Muhamaad Razis Ismail


LELAKI didakwa di Mahkamah Majistret Kota Bharu, hari ini, atas tuduhan menyebabkan kematian remaja berusia 14 tahun, lapan tahun lalu.

Tertuduh Mohammad Harun Ibrahim, 26, bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Mohd Izzuddin Mohd Shukri.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa menyebabkan kematian secara tidak sengaja Muhammad Zulkifli Salleh dengan menumbuk kepala mangsa.

Kesalahan dilakukan di Kampung Tok Panjang, Kedai Buloh di Kota Bharu, antara 12 tengah hari hingga 6 petang, 28 Mac 2010.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 304A Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mohd Faizun Sulaiman, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM4,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 26 Disember ini untuk sebutan semula kes.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 Disember 2018 @ 2:19 PM