ABDUL Jalil (tengah) dan Nor Arzlin (enam kanan) bersama penerima Anugerah Kecemerlangan Murid 2017, hari ini. Foto AZIAH AZMEE
ABDUL Jalil (tengah) dan Nor Arzlin (enam kanan) bersama penerima Anugerah Kecemerlangan Murid 2017, hari ini. Foto AZIAH AZMEE
Mohamad Ridzuan Mohd Anwar dan Ahmad Ajwad Azman


SERAMAI 50 anak kakitangan Media Prima Berhad (MPB) diraikan dalam majlis Anugerah Kecemerlangan Akademik 2017 berikutan cemerlang dalam peperiksaan, hari ini.

Mereka terdiri 20 orang yang menduduki Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), 13 orang untuk Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) dan empat dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) selain 13 orang cemerlang dalam peperiksaan akhir tahun.

Anugerah disampaikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif The New Straits Times Press (M) Berhad (NSTP) Datuk Seri Abdul Jalil Hamid dan Pengurus Besar Kumpulan Jabatan Sumber Manusia MPB Nor Arzlin Redzwan.

Abdul Jalil dalam ucapannya berkata, majlis berkenaan adalah lambang pengorbanan setiap warga kerja MPB.

“Kita sebagai ibu bapa sentiasa berhempas pulas siang dan malam mengembleng masa, tenaga dan wang ringgit demi memastikan anak-anak mendapat pendidikan dan tunjuk ajar yang sempurna.

“Kita di MPB sentiasa sibuk dengan karier dan tanggungjawab kerja masing-masing. Justeru, keseimbangan di dalam aspek kerjaya dan kehidupan berkeluarga amat penting,” katanya di Theathrette, Anjung Riong, Balai Berita, hari ini.

Katanya, anugerah itu secara tidak langsung menjadi dorongan dan sokongan daripada MPB terhadap usaha gigih anak-anak untuk cemerlang dalam pelajaran.

Pada majlis sama, tiga pelajar turut diraikan sebagai Tokoh Pelajar di atas kecemerlangan masing-masing dalam UPSR, PT3 dan SPM.

Sementara itu, Nuryn Batrishyia Mohd Rafeez, 13, yang memperoleh 6A dalam UPSR 2017, berkata dia bersyukur dengan kejayaannya dan menganggap perjalanan hidupnya masih jauh untuk ditempuhi.

“Sekarang saya melanjutkan pelajaran di Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Kuantan dan sedaya upaya mahu mencapai IGCSE iaitu kelayakan untuk memasuki universiti di Cambridge,” katanya.

Manakala, Nur Khaulah Basirun, 16, yang mendapat 12A 1B dalam PT3 menyifatkan kejayaan yang diperoleh memang tidak disangka lebih-lebih lagi berdepan mata pelajaran yang sukar.

“Alhamdulillah, saya bersyukur dan inginkan buktikan kepada ibu bapa yang saya mampu menjadi inspirasi kepada mereka,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 30 November 2018 @ 7:06 PM